Juruterbang Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh PKP

KAPTEN Muhammad Fauwaz Zamzam adalah seorang pengurus operasi penerbangan dan juga juruterbang kanan di sebuah syarikat penerbangan swasta yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Berusia 38 tahun, beliau mempunyai pengalaman lebih 7,000 jam penerbangan dan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat sepanjang 17 tahun menjadi juruterbang.

Antaranya Boeing 737, Airbus 320, Airbus 330 dan ATR42. Beliau juga pernah menerbangkan jet peribadi Global 5000 dan Challenger 300.

Bagaimanapun, seperti mana petugas industri penerbangan lain di seluruh dunia, beliau dan rakan-rakannya turut terkena ‘tempias’ di saat virus kegilaan virus Covid-19 ini.

Majikannya juga terpaksa menggantung penerbangan yang telah dijadualkan bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dibuat oleh kerajaan.

Pun begitu, itu bukan bermakna juruterbang sepertinya hanya duduk di rumah begitu sahaja.

Juruterbang Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh PKP

” Pesawat jenis ATR42 yang saya terbangkan akan jatuh dalam kategori ‘short term storage’ sekiranya tidak dipandu dalam tempoh 30 hari, dalam bahasa mudah ia perlu diterbangkan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tersebut. Komponen dalam pesawat ini seperti enjin dan badan ada jangka hayatnya, kalau dalam sebulan tak terbang, ada bahagian yang terpaksa dikeluarkan untuk ‘dipelihara’.

“Situasi ini akan menjadi rumit sekiranya pesawat tersebut perlu diterbangkan selepas tempoh itu kerana ia akan melibatkan banyak kerja contohnya perlu diperiksa kembali, dibuat ujian semula dan sebagainya. Jadi kami di syarikat ini akan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan pihak kejuruteraan, namun untuk pesawat jenis lain mungkin berbeza. Polisi syarikat lain juga mungkin tak sama.

Juruterbang Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh PKP

“Apapun dalam tempoh PKP ini, kami tetap perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika ingin terbang, tak kisahlah untuk tujuan apa sekalipun,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Malaysia Gazette hari ini.

Mengulas lanjut, kata anak jati Sabak Bernam, Selangor itu, baru-baru ini beliau telah menerbangkan pesawat syarikatnya kira- kira satu jam.

” Saya pandu pesawat tersebut dari Subang melintasi bandar Ipoh sebelum pulang semula ke pengakalan kami di LTSAAS,” katanya.

Juruterbang Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh PKP

Ketika ditanya adakah penggantungan penerbangan ini menjejaskan ‘flying hours’ atau jam penerbangan yang perlu ada bagi setiap juruterbang, Muhammad Fauwaz berkata, yang terjejas mungkin daripada segi pendapatan kerana selalunya mereka dibayar gaji asas dan elaun berdasarkan jumlah jam penerbangan tadi.

Katanya, jika tiada penerbangan, juruterbang hanya dapat gaji asas kecuali jika syarikat penerbangan tempat mereka bekerja itu memang dari awal lagi menetapkan setidak-tidaknya beberapa jam penerbangan tetap akan dibayar kepada juruterbang mereka pada setiap bulan.

Insentif ini, menurut Muhammad Fauwaz dikenali sebagai ‘minimum guarantee hours’.

Juruterbang Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh PKP

” Ingin saya tegaskan di sini, kos yang perlu ditanggung oleh setiap syarikat penerbangan adalah sangat besar untuk menampung operasinya. Namun begitu, ini tidak bermakna mereka kena mengabaikan aspek keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat.

” Sebab itu, walaupun ada PKP, syarikat penerbangan kami contohnya, akan tetap meminta izin daripada pihak berkuasa agar pesawat-pesawat kami dapat ‘diaktifkan’ .

“Memadailah walaupun hanya sekadar ‘take off’, ‘climb’ ‘cruise’, ‘approach’ dan ‘landing’ waktu PKP ini…yang penting setidak-tidaknya perlu terbang walaupun ia tidak mendatangkan pulangan kerana tidak ada penumpang.

“Pesawat juga perlu ‘warm up’,” katanya tersenyum sebelum mengakhiri perbualan. – Malaysia Gazette