Anggota polis melihat Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama menjaga kesihatan diri, keluarga dan orang-orang di sekeliling dengan mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa rakyatnya kerana setiap nyawa adalah berharga.

”Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai.

”Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara,” menurutnya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai lanjutan PKP.

Tegas beliau, pertarungan negara ke atas Covid-19 belum pun berakhir dan ia masih dijalankan.

Setakat ini, perkembangannya adalah baik, justeru beliau mahu seluruh rakyat Malaysia kekal bersemangat tinggi dan terus bertarung dengan virus tersebut.

”Sekiranya kita bertahan, InsyaAllah kita akan menang,” katanya yang melahirkan rasa bertuah kerana rakyat Malaysia adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang.

Tahap pematuhan PKP di negara ini adalah tinggi, sekali gus menunjukkan rakyat memahami akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

”Teruskanlah sikap yang terpuji ini. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. Insya Allah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah” katanya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang akan mengubah kehidupan manusia pada hari-hari mendatang.

Kehidupan kita sebelum ini tidak akan kembali seperti biasa, sebaliknya akan menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu.

”Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi. Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat.

”Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat.

”Begitu juga perkara yang kita tidak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan tetapi akan akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap menggunakan sabun, hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) dan memakai face mask (penutup muka dan hidung).

”Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu,” katanya. – MalaysiaGazette