Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin (dua kiri) menerima sumbangan dari Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akhbar Khan (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan PPE Kepada Petugas Barisan Hadapan Covid-19 di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh menyuntik semangat barisan hadapan untuk terus cekal bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin berkata, ia secara tidak langsung dapat memberi keyakinan untuk bertugas khususnya ketika bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR).

“Pemberian ini dapat memberi sedikit semangat dan meningkatkan moral anggota kita.

“Dengan bantuan ini menjadikan mereka yakin apabila bertugas, insya-Allah mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita di lobi Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini.

Terdahulu beliau yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menerima sumbangan 500 set PPE daripada syarikat korporat, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Hyder Khan melahirkan penghargaan kepada pihak ATM kerana sudi menerima sumbangan mereka.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ATM kerana sudi menerima sumbangan kita berbentuk PPE sebanyak 500 set.

“Diharapkan peralatan ini dapat digunakan oleh barisan hadapan khususnya yang bertugas membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam SJR di seluruh negara.

“Selain itu kita turut menyumbang 500 set PPE ini kepada PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selepas ini pula kepada pihak bomba,” katanya.

Katanya lagi, walaupun umum mengetahui bekalan PPE tidak mencukupi di pasaran, pihaknya menghasilakn sendiri peralatan itu.

“PPE ini dihasilkan oleh anggota-anggota MRCB sendiri yang punyai banyak masa lapang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette