Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 184 lagi kes positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengahari tadi menjadikan jumlah keseluruhan 4,530 kes pandemik itu sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, tiga lagi kematian dilaporkan manakala 72 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan daripada jumlah tersebut 36 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 165 kes terbaharu telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1995 kes.

“Kadar discaj adalah 44.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini pandemik Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,462 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Malah jelasnya, mengikut trajektori unjuran KKM, pada 14 April 2020 iaitu apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes-kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti.

“Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk terus membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-10 dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter dan kerap mencuci tangan,” katanya.

Dalam pada itu katanya daripada dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan 3 kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurutnya ia sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik virus maut itu di negara ini adalah sebanyak 73 kes setakat ini (1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Kes kematian ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mempunyai kontak rapat kes positif COVID-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu kes ke-452).

“Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.05 tengah hari.

“Kes kematian ke-72 (kes ke-537) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung sebelum dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 tetapi telah disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 11.15 pagi.

“Akhirnya kes kematian ke-73 (kes ke-2399) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.00 tengahari,” tegasnya.- MalaysiaGazette