Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertugas memeriksa penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Seramai 224 petugas Kementerian Kesihatan positif Covid-19 setakat hari ini dan siasatan awal mendapati ia bukan berpunca daripada pengendalian kes di wad Covid-19 atau Unit Rawatan Rapi (ICU) khusus untuk pesakit wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 150 kes atau 67 peratus berpunca dari komuniti (termasuk rakan sekerja yang disebabkan oleh jangkitan di komuniti).

“Sebanyak 41 kes (18 peratus) mempunyai kaitan dengan pesakit, iaitu 29 kes daripada pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI), sembilan daripada pesakit yang tidak diketahui status sebelum rawatan diberikan, dan tiga kes daripada aktiviti saringan dan lain-lain aktiviti di lapangan manakala 33 kes (15 peratus) masih dalam siasatan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media perkembangan terkini pandemik Covid-19 di sini, Dr Noor Hisham berkata, pihak kementerian sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan anggota kesihatan terutamanya petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus dalam menghadapi pandemik Covid-19 demi kepentingan negara.

Katanya pelbagai tindakan telah diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan anggota termasuk penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri di fasiliti bagi memastikan pembekalan PPE sentiasa mencukupi.

Malah tegasnya, semua kes SARI dan jangkitan paru-paru (pneumonia) dirawat sebagai jangkitan Covid-19 sehingga terbukti sebaliknya.

Keadaan itu, katanya, memperkukuhkan triaging iaitu penilaian dan pengasingan pesakit yang disyaki mempunyai gejala Covid-19 apabila datang ke fasiliti kesihatan serta memberikan mereka alat penutup hidung dan mulut (facemask) untuk dipakai.

“Ia memastikan anggota yang merawat pesakit disahkan positif Covid-19 perlu menggunakan alat pelindung diri (PPE) seperti yang disarankan, dan anggota yang merawat pesakit tidak disyaki Covid-19 menggunakan alat penutup hidung dan mulut (facemask).

“Selain itu kami juga memastikan anggota mengamalkan semua langkah pencegahan seperti kebersihan tangan dan amalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter mengikut keperluan dan kesesuaian.

“KKM ingin menasihatkan semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) termasuk pengamal perubatan swasta dan NGO, yang merawat pesakit perlu menggunakan penutup hidung dan mulut (facemask).

“KKM amat menghargai pengorbanan dan dedikasi semua anggota kesihatan dan perubatan yang berkhidmat di setiap fasiliti kesihatan, tidak kira samada di barisan hadapan, perkhidmatan sokongan mahupun di balik tabir.

“KKM akan terus komited untuk memastikan status keselamatan dan kesihatan setiap anggota KKM dipelihara,” katanya. – MalaysiaGazette