Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketika kerajaan bertungkus-lumus menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) kesal masih ada syarikat penerbangan yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

NUFAM mendakwa walaupun kebanyakan negara sudah menyekat perjalanan hingga mengakibatkan syarikat penerbangan lumpuh tetapi syarikat penerbangan di negara ini masih beroperasi seperti biasa ke negara-negara yang mempunyai kes Covid-19.

Paling dikesalkan, dakwa NUFAM, kakitangan yang ‘terbang’ ke negara-negara berkenaan tidak dibekalkan dengan kelengkapan yang sepatutnya sebagai kakitangan barisan hadapan kecuali penutup muka dan hidung serta sarung tangan sahaja.

”Ketika ramai pihak bertungkus-lumus menyediakan PPE untuk kakitangan hospital dan klinik, anak-anak kapal yang berdepan dengan para penumpang dari negara-negara yang merekodkan kes Covid-19 tertinggi hanya berbekalkan penutup mulut dan hidung serta sarung tangan.

“Tiada pakaian pelindung diri seperti PPE walaupun mereka juga berisiko berdepan dengan individu pembawa virus Covid-19.

“Itupun mereka diminta menggunakan penutup mulut dan hidung serta sarung tangan secara berhemah untuk menjimatkan kos,” katanya yang kesal dengan situasi yang berlaku.

NUFAM mendakwa bukan tiada anak kapal yang dijangkiti Covid-19 namun ia tidak pun menjadi pengajaran kepada syarikat penerbangan.

Malahan, kes-kes tersebut ditutup kerana anak-anak kapal tidak boleh memaklumkannya kepada NUFAM.

Bukan itu sahaja, malah NUFAM mendakwa, pihaknya dimaklumkan anak-anak kapal yang terlibat dalam penerbangan ke luar negara hanya diberi cuti dua hari sahaja selepas balik ke tanah air, sedangkan penumpang-penumpang perlu dikuarantinkan selama 14 hari.

“Di mana keadilan untuk anak-anak kapal ini? Logiknya, mereka juga perlu dikuarantin kerana berisiko selepas berdepan dengan penumpang-penumpang yang baru balik dari luar negara. Keluarga kru kabin ini juga risau jika adanya kontak dengan penumpang yang mempunyai kes Covid-19.

”Ada juga laporan kami terima, yang mana ramai kru kabin di syarikat penerbangan antarabangsa telah menghadapi gejala penyakit Covid-19.

“Jadi kru kabin serta mereka yang bekerja di barisan hadapan yang sentiasa berdepan dengan penumpang pesawat seharusnya mendapat perlindungan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya lagi.

Tidak wajar ada diskriminasi terhadap mana-mana pekerja termasuk kru kabin, oleh itu syarikat penerbangan wajib mengkuarantin anak-anak kapal yang tiba pulang dari luar negara tanpa memaksa mereka mengambil cuti tahun atau melalui pemotongan gaji mereka.

NUFAM juga menuntut semua kakitangan penerbangan mengurangkan kontak dengan penumpang dalam operasi seharian mereka demi keselamatan diri mereka.

Prosedur standard (SOP) penyediaan makanan untuk penumpang di dalam pesawat juga harus diperketatkan bagi mengelakkan sebarang jangkitan wabak Covid-19.

Ini kerana, NUFAM dimaklumkan masih ada syarikat ini menyedia makanan seperti biasa tanpa pematuhan SOP baru ketika wabak ini masih meningkat.

Pesawat-pesawat yang tiba dan keluar ke negara harus juga dibersihkan mengikut SOP KKM bagi mengelakan sebarang penyebaran jangkitan.

Selain itu, kesatuan ini turut menuntut kerajaan mengurangkan atau membatalkan penerbangan ke destinasi-destinasi wabak seperti China, Indonesia, London, India dan Australia demi memastikan keselamatan anak-anak kapal ini.

Buktinya, apabila melihat jadual penerbangan di lapangan terbang, memang ada beberapa penerbangan yang masih berlepas ke negara-negara terbabit.

”Keputusan syarikat penerbangan yang berdegi untuk terus terbang ke negara-negara risiko ini sebenarnya membimbangkan  ramai pekerja kami.

“Apatah lagi, pematuhan garis panduan KKM juga tidak dilaksanakan dengan sempurna dan secukupnya,” ujarnya.

NUFAM berkata perkara-perkara ini telah dikemukakan secara rasmi kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan sewajarnya.

“Sebagai Kesatuan yang begitu prihatin terhadap nasib dan kebajikan anak-anak kapal, NUFAM berharap Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia dapat memberi lebih perhatian terhadap isu isu pekerja yang telah dibangkitkan oleh kesatuan.

”Satu surat telah dihantar kepada pihak Kementerian pada 1 April 2020 dan kami masih menunggu jawapan dan tindakan dari pihak mereka.

”NUFAM mahu nasib dan kebajikan anak-anak kapal sentiasa dipelihara agar tiada syarikat penerbangan di dalam negara ini akan mengambil kesempatan dengan situasi Covid-19 memandangkan jangkitan import turut menjadi penyumbang kepada penularan virus tersebut.

“Kami mengesa semua pihak bekerjasama dan memberi tumpuan sama kepada golongan golongan kru kapal ini yang sentiasa berisiko tinggi dan berhadapan dengan beribu penumpang setiap hari,” tegasnya. – MalaysiaGazette