Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Selain bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh – seorang lagi dalam siasatan polis ialah pemilik akaun “Wendy Shoo Wai Ching” yang memaparkan posting fitnah berkaitan isu Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) iaitu fitnah, Seksyen 505(b) KK iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta SKMM iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pemilik akaun Facebook “Wendy Shoo Wai Ching” juga disiasat kerana memfitnah isu Covid-19.

Mengenai tangkapan ke atas pemilik akaun Facebook “Wendy Shoo Wai Ching”, Huzir berkata, pada 9 April lalu, siasatan telah dijalankan ke atasnya yang memuat naik kenyataan berunsurkan hasutan serta boleh memecah belahkan keamanan.

Kata beliau, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut dan Seksyen 504 KK iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta SKMM 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Posting Wendy Shoo Wai Ching berbaur menghina orang Melayu.

“Pada keesokan hari (11 April 2020), tangkapan telah dibuat ke atas wanita berusia 48 tahun itu dan gajet yang digunakan untuk memuat naik kenyataan turut dirampas.

“Siasatan masih diteruskan dan hasil siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, polis menggesa orang ramai tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin termasuk berita yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan serta mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Polis juga, tegasnya, tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mencuba melakukan pecah keamanan dan tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sebar berita palsu Covid-19, polis rakam keterangan Fuziah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast