Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Kuantan Jumaat lepas bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata catatan bersama sebuah rakaman video berhubung dakwaan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Fuziah Salleh’.

Fuziah disiasat bawah tiga seksyen, iaitu dua Seksyen Kanun Keseksaan dan satu Seksyen bawah Akta SKMM kerana memaparkan posting berbaur fitnah.

Menurutnya, Imigresen Johor turut menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis.

“Gajet (peralatan) digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan dirampas dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Katanya, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan masing-masing kerana fitnah dan mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin termasuk berita yang mempunyai kecenderungan menghasut serta boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan serta mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“Polis juga tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mencuba melakukan pecah keamanan dan tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sebar berita palsu, Fuziah mohon maaf

1 Komen

Comments are closed.