Kamarudin Jaafar

KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Iraq selamat tiba di tanah air hari ini.

Penerbangan yang membawa kesemua mereka sampai pukul 9.35 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Katanya, kepulangan mereka melalui penerbangan komersial Iraqi Airways IA
455 dari Baghdad ke Kuala Lumpur dibiayai secara persendirian.

“Dalam perkara ini, Kedutaan Besar Malaysia di Jordan telah memudahcarakan urusan kepulangan rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Iraq sehingga mereka selamat kembali ke tanah air.

“Kesemua rakyat Malaysia ini akan menjalani proses saringan kesihatan di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang
telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Kamaruddin, Kementerian Luar Negeri melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di seberang laut akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Beliau turut menasihatkan agar rakyat Malaysia yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 di luar negara untuk terus tabah dan kekal bertenang dalam menghadapi situasi ini. – MalaysiaGazette