Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad bersama Timbalan Pengarah JSJK, SAC Victor Sanjos (kiri) menunjukkan kenyataan mengenai modus operandi terbaru macau scam pada sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengingatkan orang ramai terutamanya ketika krisis pandemik Covid-19 supaya tidak sesekali terpedaya menerima panggilan telefon kononnya dari institusi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Sindiket penipuan yang dikenali ‘panggilan penyamaran’ ini antaranya menyamar sebagai pegawai polis, SPRM, SSM, BNM serta agensi penguatkuasaan lain termasuk mahkamah.

Dalam tempoh empat hari sahaja antara 7 hingga 11 April, sindiket tersebut berjaya mengaut keuntungan sebanyak lebih RM295,350 dengan menyamar dan menipu enam orang mangsa seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, pihaknya menerima laporan sindiket ini memperdaya mangsa-mangsa dengan memuat turun aplikasi ‘test flight’.

Katanya, dalam aplikasi berkenaan ada satu lagi aplikasi dikenali sebagai bnmsafe (8002) kononnya dari BNM yang perlu dimuat turun ke dalam telefon pintar mangsa.

“Mangsa pertama adalah dari Pulau Pinang yang mana mangsa dihubungi sebelum penyamaran itu berjaya diyakinkan.

“Kemudian sindiket menghantar pautan ke telefon bimbit mangsa menggunakan laman sosial Whatsapp yang kemudian dimuat turun. Mangsa kemudian akan diminta untuk masukkan maklumat peribadi termasuk berkaitan perbankan.

“Sindiket ini kemudian dengan menggunakan maklumat-maklumat berkenaan akan masuk ke dalam akaun perbankan mangsa sebelum membuat pindaan ke akaun ketiga, kod transaksi pula akan diminta dari mangsa,” katanya dalam sidang media khas sebentar tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad bercakap pada sidang media mengenai modus operandi terbaru macau scam di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 APRIL 2020

Menurut Mohd Zakaria, mangsa hanya akan sedar kehilangan wang mereka apabila membuat semakan akaun selepas itu.

“Jadi saya mohon sangat-sangtlah kepada masyarakat jangan begitu mudah masuk perangkap dan terpedaya, janganlah percaya mana-mana panggilan telefon yang menyamar jadi penguatkuasa atau dari bank.

“Elak muat turun sebarang aplikasi yang minta maklumat peribadi, jangan sebar apa-apa maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Jika ada mesej berantai, padam sahaja.

“Jangan dedahkan sebarang maklumat perbankan anda kepada orang lain, berhati-hati,” tegasnya. –MalaysiaGazette