Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk membuka semula beberapa jenis perniagaan termasuk kedai dobi dan kedai gunting rambut perlu diberi pertimbangan semula selaras dengan gesaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi perniagaan tersebut perlu ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak, malah penganjuran bazar Ramadhan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

“Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan ‘non-essentials’ ini jelas tidak bersetuju. Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes COVID-19 yang agak stabil.

“Keutamaan kerajaan ialah memastikan kepentingan kesihatan umum tidak di kompromi dalam apa jua keadaan,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelonggaran sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP, termasuk perkhidmatan gunting rambut dan dobi.

Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan itu diambil menerusi mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.

Mohamad juga berkata, setiap orang harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada kelangsungan komuniti rakyat dan tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

“Insyallah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadhan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya.

“Sehingga saat itu tiba, tugas semua kita ialah memutuskan rangkain pandemik ini dan mengurangkan jangkitan. Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan fizikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette