Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengingatkan
setiap pegawai yang dilantik atau mempunyai akses terhadap penggunaan medium komunikasi rasmi kerajaan perlu kekal berkecuali dan profesional dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Ini kerana, CUEPACS bimbang kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam akan terhakis jika medium yang sepatutnya menjadi saluran rasmi kerajaan menyampaikan maklumat tidak dikendalikan dengan semangat profesionalisme yang tinggi.

”Sebagai Penjawat Awam kita perlulah sentiasa berikrar untuk menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik (apolitical) demi agama, bangsa dan negara.

”Mantera ‘Berkhidmat Untuk Negara’ adalah pegangan penjawat awam dalam melaksanakan tugas,” tegas Presiden CUEPACS, Adnan Mat yang kesal apabila saluran rasmi media sosial milik kerajaan disalahgunakan untuk perkara yang mempunyai unsur politik kepartian.

Menurut beliau, bagi CUEPACS perkara ini tidak wajar berlaku memandangkan negara kni berhadapan dengan isu keselamatan yang serius melibatkan penularan wabak Covid-19.

Saluran rasmi kerajaan sama ada media sosial atau laman web perlulah menyampaikan maklumat yang merentasi semangat kepartian politik.

‘Rakyat ketika ini perlukan lebih hebahan serta maklumat mengenai situasi semasa berkaitan isu-isu Covid-19.

”Medium rasmi kerajaan sepatutnya menjadi pusat penyampaian kepada usaha atau kejayaan yang dilaksanakan kerajaan tanpa menimbulkan perbalahan melibatkan ideologi politik.

”Perkara ini tidak sepatutnya berlaku ketika penjawat awam terutama petugas barisan hadapan mengorbankan sepenuh jiwa raga dan masa untuk berkhidmat demi negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau megulas isu kenyataan Friends of Adham Baba mengenai Menteri Kesihatan yang dimuat naik dalam halaman media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kenyataan tersebut yang dilihat sebagai propaganda politik, dikecam oleh pelbagai pihak yang tidak berpuas hati apabila laman sosial kementerian itu disalahgunakan.

Justeru itu CUEPACS menasihatkan semua pihak agar menggunakan medium atau saluran rasmi kerajaan seperti media sosial atau laman web dengan lebih profesional dan mengelakkan penyampaian berbentuk kepentingan berkait unsur politik kepartian. – MalaysiaGazette