Ashraf Muslim.

KUALA LUMPUR –  Pelakon Ashraf Muslim antara mangsa terbaharu Covid-19, sekembali menjalani penggambaran drama bersiri, Demi di Inverness, Scotland, akhir bulan lalu.

Sebelum ini, lapan tenaga kerja pasukan produksi termasuk pengarah, Rahila Ali, pelakon, Puteri Aishah dan Puteri Rayyana Rayqa disahkan positif virus sama.

Ashraf akhirnya berkongsi luahan hati menerusi entri Instagram (IG) hari ini selepas sekian lama berdiam mengenai keadaan dirinya.

Dia turut memohon maaf kepada semua pihak termasuk rakan media kerana memilih tidak memberikan sebarang kenyataan.

“Tanggal 12 April lalu menjadi jawapan bagi saya mengenai keputusan ujian Covid-19.

“Ya, saya dijangkiti virus Covid-19. Sewaktu itu walaupun sebak mendapat tahu jawapannya tetapi saya reda dengan pilihan Allah.

“Ada hikmah di sebaliknya. Datang ‘nervous’ dan macam-macam perasaan apabila masuk ambulans.

“Maafkan saya ahli keluarga, sahabat dan rakan,” kongsinya.

Dalam entri itu, Ashraf turut memohon doa orang ramai untuknya dan mereka yang disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Ashraf tidak mendedahkan secara terperinci lokasi hospital menjalani rawatan dan kuarantin.

“Tolong doakan yang baik untuk saya dan pesakit Covid-19. Semoga Allah jauhkan wabak ini, tidak berterusan dan menyihatkan semua.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada rakan wartawan yang menghubungi saya. Harap faham dengan situasi saya sekarang.

“Tak lupa kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, pembantu perubatan, jururawat dan mereka yang terbabit. Terima kasih, kalian adalah hero kami,” tulisnya.

Sementara itu, Ashraf turut berharap keluarganya mendoakannya dijauhi segala kesulitan.

“Kepada Mama, Ibu, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah, doakan ayah supaya pulih daripada virus ini dengan cepat. Supaya kita dapat berjumpa beramai-ramai.

“Ayah rindu sangat, tetapi jangan risau ayah okay, sihat, boleh solat dan baca al-Quran seperti biasa.

“Berprasangka baik pada Allah. Hanya Allah memberikan penyakit dan memberikan kesembuhan,” tulisnya.

Sementara itu, kumpulan produksi drama Demi berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu sebelum kes penularan COvid-19 ketara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dikuat kuasa.

Seramai 18 tenaga kerja termasuk pengarah, pelakon dan kru yang menjalani penggambaran drama 26 episod siaran RTM itu tiba di Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast