Anggota Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan kerja-kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2020

BATU CAVES – Balai polis dan ibu pejabat polis daerah (IPD) tidak terkecuali untuk menjalani proses sanitasi nyah cemar daripada jangkitan wabak Covid-19 susulan pejabat pasukan keselamatan itu sering kali dikunjungi orang ramai untuk pelbagai urusan.

Menurut Ketua Balai Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani, langkah pembasmian kuman itu dilakukan di kawasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjamin keyakinan anggota polis dan rakyat ketika berurusan di sana.

“Balai polis ataupun IPD adalah satu tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai untuk selalu datang ke kawasan balai ataupun pejabat yang berurusan dengan pihak polis.

“Jadi di sini akan melibatkan pergerakan dan percampuran orang awam yang begitu ramai dan kita tidak tahu adakah orang yang datang itu positif ataupun negatif Covid-19.

“Dengan semburan sanitasi ini dapat memberi keyakinan kepada anggota yang bertugas dan orang awam yang datang ke balai polis bahawa kawasan itu adalah bebas kuman Covid-19,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai sepasukan JBPM bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi sanitasi nyah cemar di bangunan pentadbiran dan kuaters milik IPD Gombak.

Proses nyah kuman hari ini merangkumi hampir 20 ekar kawasan IPD Gombak termasuk hampir 1,000 unit kediaman pasukan keselamatan polis di situ.

Dalam operasi sanitasi itu, campuran air dengan sodium hipoklorit atau natrium hipoklorit digunakan bagi membuat nyah jangkitan Covid-19 di IPD Gombak, merangkumi 7,000 liter daripada MPS dan 2,000 liter daripada bomba Gombak dan Rawang. – MalaysiaGazette