Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan tidak bertanggungjawab yang mengugut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Fahmi selaku jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, semua ahli Parlimen sama ada yang mewakili kerajaan atau pembangkang berhak bersuara mengenai pelbagai isu tanpa halangan.

“Saya kesal kerana perkara seperti ini tidak harus diperlakukan kepada mana-mana ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

“Mereka ada hak untuk bersuara dan ini terpakai sama ada ahli Parlimen di pihak kerajaan mahupun pembangkang

“Jangan diugut ahli-ahli Parlimen kerana mereka adalah suara rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 di Stesen Sentral Kuala Lumpur (SSKL), hari ini.

Terdahulu, Teresa menerusi akaun Facebook mendakwa menerima surat ancaman dan disertakan dua butir peluru.

Katanya, ugutan yang diterimanya semalam diletakkan di dalam peti surat kediamannya.

Susulan itu, Ahli Parlimen Seputeh itu membuat laporan polis.

Kesal dengan tindakan berkenaan, Fahmi menyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai memalukan.- MalaysiaGazette

Teresa Kok terima sampul berisi peluru, kertas ugutan