Ahli dan pemimpin KAKIB sempena Program Sumbangan Prihatin KAKIB di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh kelmarin.

IPOH  – Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) menawarkan kemudahan pinjaman segera sebagai inisiatif bagi keperluan kewangan ahli-ahlinya ketika ini.

KAKIB yang ditubuhkan pada tahun 1923 semasa era kolonial merupakan koperasi kedua tertua di Malaysia yang ketika ini memiliki seramai 6,679 ahli.

Pengerusi KAKIB, Khairul Anuar Mohd. Nor berkata, pinjaman mudah sehingga RM3,000 ditawarkan dengan faedah serendah 2.5 peratus.

Menurut beliau, Pembiayaan Khas Covid 19 KAKIB itu merupakan inisiatif bagi meringankan beban ahli-ahli yang memerlukan.

“Bagi meringankan beban ahli-ahli juga, maka bayaran balik pembiayaan akan dibuat bermula pada bulan September.

“Bagaimanapun, permohonan dan kelulusan pinjaman ini tertakluk juga kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sumbangan Prihatin KAKIB di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kelmarin.

Sumbangan minuman dan cecair pembasmi kuman itu bagi kegunaan para petugas-barisan hadapan di HRPB termasuk anggota pasukan keselamatan.

Hadir sama Bendahari KAKIB, Mohd. Zamal Abidin Wahid dan Pengurus KAKIB Safar Travel & Tour, Mohamed Jamaluddin.

Selain petugas barisan hadapan, bantuan turut diberi kepada ahli-ahli KAKIB serta golongan yang memerlukan nilai kesemuanya adalah sebanyak RM10,000.

Mengulas lanjut kata Khairul Anwar, pihaknya juga ketika ini sedang menunggu keputusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi kebenaran untuk membayar dividen awal kepada ahli-ahli.

Katanya, ini juga antara usaha agar wang dividen ini nanti dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli KAKIB pada waktu sukar ini.

Pada masa ini juga urusan perkidmatan Al-Rahnu KAKIB beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan iaitu dua kali seminggu pada Selasa dan Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 2 petang.- MalaysiaGazette