China mengenakan perintah berkurung ke atas hampir tiga juta rakyatnya susulan peningkatan kes wabak Covid-19.- Gambar hiasan.

BEIJING – Ekonomi China menguncup 6.8 peratus pada suku pertama – kali pertama sejak hampir 30 tahun disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan sektor pengilangan lumpuh,  sekali gus memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk menghentikan masalah kehilangan pekerjaan di negara tersebut.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 6.8 peratus pada Januari hingga Mac lalu, demikian menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Angka tersebut lebih besar berbanding unjuran penganalisis-penganalisis di undian Reuters yang menjangkakan ekonomi jatuh kepada 6.5 peratus sahaja.

Ia merupakan penguncupan pertama yang dialami oleh ekonomi kedua terbesar dunia itu, sekurang-kurangnya sejak 1992.

Meskipun China berjaya memastikan sebahagian besar daripada ekonominya bergerak namun penganalisis melihat kerajaan terpaksa berdepan dengan cabaran hebat untuk memulihkan semula pertumbuhan kerana pandemik itu telah meruntuhkan permintaan global.

Nomura menjangkakan Beijing akan mengumumkan pakej rangsangan tidak lama lagi.

Pakej tersebut boleh dibayai oleh bank pusat melalui pelbagai saluran.

“Tidak seperti pakej sebelum ini yang mana hampir kesemua kredit baharu digunakan untuk membiayai perbelanjaan dalam infrastruktur, hartanah dan barangan pengguna.

“Kami menjangkakan hampir kesemua kredit baharu pada kali ini akan digunakan untuk memberikan bantuan kewangan kepada usahawan, bank dan isirumah untuk mengharungi krisis Covid-19,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagi perbandingan bulanan, KDNK menguncup 9.8 peratus bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding pertumbuhan 1.5 peratus suku sebelumnya.

Data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Kebangsaan itu, hanya berbeza sedikit daripada jangkaan awal iaitu penguncupan 9.9 peratus.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast