Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan bagi mengimbangi penyusutan pendapatan sekiranya harga minyak merosot ke paras yang lebih rendah berbanding anggaran purata tahunan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerajaan telah memfaktorkan impak penurunan harga minyak dalam pengiraan lebih daripada empat peratus ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan harga minyak. Kementerian memahami perhatian umum terhadap harga minyak, memandangkan ia dipengaruhi faktor-faktor geopolitik global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, Kementerian Kewangan akan meneliti langkah-langkah untuk menyusun semula struktur ekonomi bagi meningkatkan kepelbagaian ekonomi.

Kementerian juga katanya akan melaksanakan dasar fiskal dan kewangan yang lebih baik untuk membangunkan daya tahan ekonomi negara.

Kerajaan semasa merangka Belanjawan 2020 bersandar kepada unjuran harga minyak AS$62 setong dengan sasaran defisit sebanyak 3.2 peratus.

Bagaimanapun kemunculan wabak Covid-19 sejak Disember tahun lepas mengubah sama sekali landskap ekonomi global dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Harga minyak global jatuh lebih 30 peratus setakat ini.

Kerajaan pada 27 Mac lalu mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion dengan sasaran defisit sebanyak empat peratus.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast