Amirudin Shari
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah meluluskan pembayaran insentif RM200 oneoff (sekali bayar) kepada kira-kira 5,000 orang pegawai dalam kalangan penguatkuasa dan agensi penting di negeri itu, termasuk kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, insentif itu adalah penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dalam menghadapi wabak Covid-19.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut Amirudin, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan nasib rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan dan terkesan semasa menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa mendalami, memahami dan membuat keputusan yang terbaik bagi menampan dampak ekonomi dan sosial Covid-19 dari masa ke masa.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) dan Pentaksiran Hafazan Al-Quran (PPTQ) kelolaan  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dibatalkan akan diganti dengan kaedah pentaksiran lain ditentukan.

Selain itu katanya, peperiksaan Sijil KAFA Menengah (SKM) juga dibatalkan.

“Kerajaan Negeri turut menetapkan bahawa Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiq Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Tarbiyah Diniah (SMATD) ditunda ke suku
pertama tahun 2021 akan datang.

“Semua peperiksaan awam JAIS ini akan dilaksanakan semula sepenuhnya apabila keadaan kembali pulih dan selamat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette