Robert Redfield. foto Agensi

NEW YORK – Gelombang kedua koronavirus dijangka melanda Amerika Syarikat (AS) pada musim sejuk dan serangan itu dijangka lebih teruk kerana kemungkinan akan tiba pada awal musim influenza, kata Pengarah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit.

“Ada kemungkinan serangan virus di negara kita pada musim sejuk akan lebih sukar daripada apa yang kita lalui sekarang,” kata Robert Redfield kepada Washington Post.

Ketika wabah sekarang mula menunjukkan pengurangan, beliau berkata, semua pihak perlu bersiap-sedia untuk menghadapi bulan-bulan akan datang.

”Kita akan menghadapi epidemik selsema dan koronavirus secara serentak. Ini akan memberi tekanan yang lebih besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara berbanding wabak pertama,” ujarnya.

Virus ini, yang menyebabkan penyakit pernafasan yang berpotensi membawa maut.

Kes jangkitan pertama di AS membabitkan perjalanan, didiagnosis pada 20 Januari lalu di Washington.

Sejak itu, hampir 810,000 orang telah diuji positif di AS dan lebih dari 45,000 orang telah meninggal dunia akibat virus ini.

Redfield berkata, arahan duduk di rumah telah menyebabkan kes menurun secara drastik tetapi sekatan itu juga telah melumpuhkan perdagangan AS hingga sekurang-kurangnya 22 juta orang hilang pekerjaan.

Beliau berkata, walaupun sekatan semakin dilonggarkan, tetapi adalah penting untuk semua individu mengamalkan penjarakkan sosial.

Pada waktu yang sama, katanya, pihak berkuasa kesihatan awam harus meluaskan ujian saringan bagi mengenal pasti mereka yang dijangkiti.

Ditanya mengenai protes jalanan yang mahu sekatan perjalanan ditarik semula, Redfield berkata: “Ini tidak bermanfaat”. – MalaysiaGazette