Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam apabila dibuka lebih tinggi pada hari ini, menjejaki prestasi kebanyakan pasaran Asia yang didorong oleh peningkatan semalaman Wall Street ketika pelabur memberi reaksi positif terhadap laporan pendapatan dan tanda-tanda penularan COVID-19 kian reda.

Pada  9.15 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.21 mata kepada 1,392.10 daripada 1,381.89 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan menokok 6.85 mata kepada 1,388.74.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 401 berbanding 63 manakala 164 kaunter tidak berubah, 1,283 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 627.05 juta saham bernilai RM227.25 juta.

Malacca Securities berkata reaksi kurang memberangsangkan akibat penyusutan harga minyak mentah selama dua hari berturut-turut memberi peluang kepada pasaran untuk melakukan pelarasan daripada kedudukan belian berlebihan.

“Walaupun sentimen berhati-hati itu masih ada, indeks petunjuk utama sebaliknya dapat mencatat pemulihan apabila berupaya melenyapkan kerugian semalam. Kami menjangkakan keadaan pemulihan itu berterusan dengan indeks penanda aras menokok lebih tinggi pada masa terdekat ini,” katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.

Menurutnya, sentimen pasaran indeks global yang menunjukkan tanda-tanda stabil akan turut menular ke pasaran ekuiti Malaysia.

“Sehubungan itu, kami melihat paras psikologi 1,400 sebagai rintangan segera dan diikuti 1,420 manakala paras sokongan adalah masing-masing pada 1,370 dan 1,340,” katanya.

Bagi prospek hadapan, firma pembrokeran itu berkata saham-saham berharga rendah dan di pasaran meluas akan turut meningkat susulan kenaikan sentimen pasaran.

Ini, katanya, akan menarik penyertaan lebih ramai pelabur runcit bagi memanfaatkan aktiviti mencari saham berharga rendah.

Namun, pada masa sama, mungkin terdapat aktiviti pengambilan untung ketika sentimen berhati-hati terus ketara berikutan prospek ekonomi global lebih rendah bagi tempoh berbaki tahun ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik tiga sen kepada RM7.53, TNB untung 16 sen kepada RM12.66, Public Bank menokok 14 sen kepada RM15.86,  IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM5.16 dan Petronas Chemicals meraih 10 sen kepada RM5.44.

Bagi saham aktif, Vortex Consolidated naik satu sen kepada sembilan sen, Nexgram untung setengah sen kepada dua sen manakala Hubline dan Xidelang masing-masing tidak berubah kepada lima sen dan lapan sen.

Indeks FBM Emas meningkat 78.53 mata pada 9.687.78, Indeks FBM Emas Shariah naik 88.58 mata kepada 10,727.30 manakala Indeks FBMT 100 menambah 74.27 mata kepada 9,564.40.

FBM 70 pula meningkat 106.34 mata kepada 11,503.59 dan FBM Ace meraih 75.75 mata kepada 4,428.57.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.21 mata kepada 118.22, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 80.84 mata kepada 12,444.94 manakala Indeks Perladangan menambah 14.73 mata kepada 6,152.31.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast