Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Polis Bukit Aman hari ini difahamkan telah selesai mengambil keterangan daripada anak perempuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Pasangan suami isteri itu dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman 11 pagi tadi untuk dirakam keterangan atas dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini di Putrajaya.

Bagaimanapun Nurulhidayah dan suaminya difahamkan memasuki Bukit Aman sekitar jam 11 pagi sebelum beredar kira-kira sejam kemudian iaitu  pukul 12 tengahari selepas selesai diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kehadiran mereka tidak dapat dikesan wakil mediadan belum ada sebarang pengesahan daripada JSJ mengenai kehadiran kedua-dua individu itu serta rakaman keterangan daripada mereka.

Siasatan D5 ke atas pasangan suami isteri itu difahamkan berkait rapat dengan status mesej Nurulhidayah dalam media sosial Instagram peribadinya melibatkan lawatan mereka beberapa kementerian di Putrajaya.

Semalam laporan tersebar bahawa dia dan suaminya diminta hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan.

Ia rentetan tindakan Nurulhidayah dalam Instagram peribadinya mencabar pihak yang mengkritik lawatanya ke Putrajaya sebagai dakwaan melanggar PKP supaya membuat laporan polis terhadapnya.

Dia berkata demikian ketika membalas ulasan seorang pengguna Instagram yang mengkritik gambarnya selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Muhammad di Putrajaya.

“Semua ini boleh dibuat melalui video call (panggilan video),” ulas netizen itu.

Nurulhidayah bagaimanapun membalas komen itu dengan mengatakan:’ reportlah (Laporkan) polis.. tak payah komen sini. saya sedia bagi keterangan dari saya. saya cabar”.

Bagaimanapun netizen itu membalas komen Nurulhidayah, saya tak perlu terima cabaran itu..saya duduk di rumah sahaja.. duduk diam di rumah,” katanya.-MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak bekas menteri dipanggil ke Bukit Aman esok?