PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Hasrat seorang kerani wanita untuk menuntut hadiah kemenangan wang tunai RM8,888 lebur selepas terpedaya dengan sindiket cabutan bertuah dalam kejadian di Bentong, Selasa lalu.

Malah, mangsa berusia 25 tahun kerugian RM13,788 selepas berkongsi maklumat peribadi perbankan kononnya bagi urusan penerimaan hadiah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek lelaki yang memaklumkan dirinya telah terpilih untuk menyertai cabutan bertuah anjuran sebuah syarikat penyedia e-dompet, Selasa lalu.

“Pada hari yang sama, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memberitahu dirinya telah memenangi wang tunai berjumlah RM8,888 yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank mangsa dalam tempoh lima hari.

“Bagi tujuan itu, mangsa diminta menyerahkan semua maklumat peribadi termasuk kata laluan perbankan dalam talian selain diingatkan untuk berkongsi kod pengesahan transaksi (TAC) jika dihantar pihak bank,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang teruja dengan ‘kemenangan’ itu telah menuruti semua arahan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu semalam, selepas membuat semakan akaun simpanannya dan mendapati terdapat banyak transaksi pemindahan wang tanpa pengetahuannya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada lagi yang kena dengan scammer mcm ni. dia duduk mana aa… sampai tak pernah dengar tak pernah baca nasihat2 orang ramai dan pihak berkuasa berkenaan penipuan2 mcm ni

Comments are closed.