Reaksi Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. foto SYAFIQ AMBAK, 04 FEBRUARI 2020.

ISLAMABAD – Pakistan menggunakan sistem agensi perisikan ISI (Inter-Services Intelligence) bagi mengesan kes suspek koronavirus.

Negara  mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kepada 10,982 kes, lapor rangkaian televisyen, NDTV.

“Ia (sistem penjejakan) pasa asalnya (dibuat untuk menjejaki) pengganas tetapi kami menggunakannya untuk mengatasi koronavirus,” kata Perdana Menteri, Imran Khan yang disiarkan secara langsung pada majlis mengumpul dana untuk membantu penduduk negara itu yang terkesan daripada wabak virus tersebut.

Beliau berkata, ‘penjejakan dan ujian hanyalah jalan untuk membuka semula perniagaan’.

ISI merupakan agensi perisikan Pakistan. Pada 1950 agensi tersebut diberi tanggungjawab untuk menjaga kepentingan dan keselamatan negara itu.

Imran yang turut melawat ibu pejabat agensi perisikan itu memberitahu, ‘keselamatan, integriti dan kedaulatan Pakistan’ tidak akan dikorbankan dengan penggunaan sistem tersebut.

Menjawab soalan yang diajukan kepada beliau, Imran memberitahu, sekatan perjalanan untuk tempoh yang belum ditetapkan bukannya satu pilihan dan sebarang keputusan mengenai sekatan perjalanan adalah untuk ‘semua warga Pakistan dan bukannya untuk golongan elit sahaja’

“Kerajaan kini sedang melihat kepada sekatan perjalanan pintar untuk menyediakan bantuan kepada mereka yang terjejas teruk berikutan penutupan negara ini,” katanya.

Beliau berkata, ‘malah negara seperti Amerika Syarikat sedang memikirkan untuk melonggarkan sekatan ke atas orang ramai’ dan menambah setiap negara melakukan penyesuaian menurut keadaan masing-masing. – Agensi