KUALA LUMPUR – Berita gembira bagi pencinta haiwan, apabila kerajaan bersetuju membenarkan klinik veterinar beroperasi walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilanjutkan.
Bagaimanapun, klinik haiwan itu perlu beroperasi dengan beberapa SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, seperti melalui temu janji terlebih dahulu antara pemilik dengan klinik berkenaan.
“Ramai pencinta haiwan bertanya adakah klinik haiwan dibuka? Haiwan mereka sakit tidak dapat dirawat. Kerajaan setuju benarkan klinik ini yang terletak di luar bandar untuk beroperasi.
“Tetapi perkhidmatan itu mestikan berdasarkan temu janji terlebih dahulu. Pemilik haiwan boleh buat temu janji dengan klinik itu. Ini untuk mengelak berlaku kesesakan di klinik, selain mengawal pergerakan secara besar-besaran.
“Tidak ada temu janji, klinik tidak boleh buka,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Mengenai pengagihan topeng muka percuma, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memperuntukan kira-kira 30.7 juta keping untuk orang ramai di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, proses pengagihan itu diuruskan dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah melalui 162 pejabat daerah.
“Sehingga semalam, sebanyak 24.8 juta keping iaitu 81 peratus telah diagihkan, yang mana setiap isi rumah telah diberi empat keping topeng muka.
“Bekalan topeng muka juga telah dihantar ke Sabah dan Sarawak dan dalam proses pengagihan ke daerah-daerah,” katanya. – MalaysiaGazette