Dr. Mohd Roslan Rosnon

DALAM perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kerajaan sedang merangka proses untuk membawa pulang pelajar di kampus ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.

Beliau juga meminta ibu bapa pelajar supaya bersabar dan memberi sedikit masa lagi kepada kementerian yang terlibat untuk menguruskan perkara itu.

Pengumuman ini tentunya memberikan nafas lega kepada mahasiswa dan keluarga mereka.

Perkara ini juga dibangkitkan ketika Wacana Covid-19 bertajuk, “Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Apa Mahasiswa Perlu?” yang dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) baru-baru ini.

Isu pulang ke kampung halaman hangat diperkatakan dalam wacana ini apabila mahasiswa berpendapat mereka perlu pulang ke kampung halaman sebelum Aidilfitri.

Namun, buat masa ini mahasiswa akur dengan arahan PKP. Bagi mahasiswa yang mempunyai limitasi dari segi capaian internet di rumah atau di kampung, mereka berpendapat bahawa tinggal dalam kampus adalah pilihan terbaik kerana memudahkan mereka untuk akses kepada capaian internet.

Selain itu, isu pengurusan komunikasi juga dibangkitkan dalam wacana ini. Komunikasi antara pihak pengurusan universiti, pensyarah dan pelajar serta ibu bapa dilihat penting bagi memastikan maklumat yang jelas, tepat, terkini dan cepat.

Kecelaruan maklumat perlu dielakkan. Komunikasi yang cekap dan berkesan sudah pasti dapat meredakan kegusaran ibu bapa yang berada di rumah dan berasa yakin keselamatan dan kebajikan anak mereka terjamin.

Mahasiswa juga mengharapkan agar pengendalian kuliah secara atas talian perlu bersifat holistik dengan mengambil kira masalah pelajar yang tidak mempunyai ekses kepada internet.

Justeru, mahasiswa berpendapat agar perlunya alternatif lain seperti penghantaran nota kuliah dan rakaman video pengajaran secara pos kepada pelajar.

Kebergantungan semata-mata dengan pembelajaran secara atas talian atau maya ini bukanlah tindakan yang terbaik untuk mahasiswa.

Oleh yang demikian, pensyarah perlu mengenal pasti keadaan mahasiswa mereka dengan melakukan tinjauan dahulu terhadap keadaan capaian internet pelajar.

Pelajar juga meluahkan kegusaran mereka mengenai tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Ramai yang mengikuti wacana ini menyatakan pendapat mereka adalah lebih wajar tugasan dilakukan secara berkumpulan supaya ia dapat membantu pelajar lain yang mempunyai limitasi capaian internet.

Selain itu mahasiswa memerlukan sokongan emosi dan kebajikan mereka terjaga terutamanya Ramadan yang sedang dilalui kini.

Berdasarkan wacana ini, ahli panel menyatakan keadaan mahasiswa di kampus sudah pastinya mengalami gangguan emosi, tingkah laku, kognitif dan psikologi mereka. Hal ini disebabkan oleh kerisauan dijangkiti virus, tidak dapat pulang ke kampung, kebimbangan, kesunyian dan sebagainya.

Walaupun ada mahasiswa yang berjaya mengatasi masalah ini dengan melakukan pelbagai strategi daya tindak, namun terdapat juga mahasiswa yang tidak berdaya untuk mengawal emosi dan tingkah laku mereka.

Oleh yang demikian, sokongan psikososial dan psikospritual dilihat penting dalam membantu mahasiswa untuk mengurus emosi dan kesejahteraan minda mereka.

Isu kebolehpasaran, sara hidup dan perkembangan kerjaya graduan sudah tentu terkesan kepada mahasiswa. Oleh itu mahasiswa perlu bersedia sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Persoalannya, adakah mahasiswa boleh menyesuaikan diri dalam keadaan ekonomi tidak menentu selepas Covid-19?

Landskap ekonomi juga pasti berubah secara besar-besaran. Ada syarikat yang tutup dan pekerjanya hilang pekerjaan. Isu berkenaan sara hidup mahasiswa bukan sahaja terjejas pada pasca PKP, malah ketika PKP juga.

Hal ini kerana ada mahasiswa yang berkerja separuh masa namun apabila PKP dilaksanakan, sudah pasti mahasiswa tidak dapat mencari sumber kewangan.

Namun, mahasiswa wajar mula merancang dan cuba mengadaptasi peluang-peluang yang ada selepas bergraduat. Meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah dilihat sebagai salah satu alternatif yang ada untuk pelajar membuat pilihan.

Namun, mahasiswa mengharapkan agar ada inisiatif tertentu yang boleh dilaksanakan bagi membantu mereka yang bergraduat.

Mahasiwa perlu menerokai kemahiran baharu. Sudah pasti kehidupan normal baharu akan lebih meningkatkan penggunaan teknologi. Oleh yang demikian, mahasiswa perlu meneroka ilmu-ilmu baru dan peluang-peluang yang baharu bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran mahasiswa.

Sokongan ramai terutamanya alumni dan rakan industri penting bagi peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling) adalah penting bagi membantu mahasiswa. Struktur kurikulum dan program juga perlu diolah semula bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan dan tuntutan semasa.

Tuntasnya, mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kehidupan norma baharu ini yang tidak menentu. Mahasiswa juga perlu bersedia untuk menerima hakikat bahawa mereka tidak akan dapat kembali pada zaman sebelum 2020. – MalaysiaGazette

— Dr. Mohd Roslan Rosnon adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).