Pemain Selangor, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (kanan) diasak keras penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pemain sayap berpengalaman, Khyril Muhymeen Zambri memilih Rosdi Talib sebagai pertahanan kiri yang paling kental pernah dihadapinya sepanjang beraksi di Liga Malaysia.

Khyril yang kini beraksi bersama Selangor menyifatkan bekas pemain kebangsaan itu sebagai seorang pemain yang bertenaga serta bijak mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pemain lawan.

Baginya, pengalaman ketika berdepan Rosdi yang pada masa itu mewakili Pahang serta T-Team sebagai sesuatu yang berharga untuk meningkatkan lagi kualitinya sebagai pemain posisi sayap kanan.

“Ketika di awal karier bersama Kedah, memang tiap kali bertembung dengan Rosdi pasti memberi kesukaran kepada saya untuk melepasi kawalannya.

“Dia seorang pemain yang tahu bagaimana hendak masuk melakukan asakan yang betul serta bijak dalam memberikan tekanan kepada pemain lawan.

“Walaupun saya bertemu Rosdi ketika penghujung karier, dia masih antara pertahanan kiri terbaik yang saya pernah hadapi serta menjadi pengalaman paling berharga kerana dapat bertemu pemain sekualitinya,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Selain kualitinya selaku pertahanan kiri, Rosdi juga mempunyai kemahiran yang baik dalam melakukan sepakan percuma jarak jauh.

Rosdi menjadi antara salah seorang pemain dalam Pilihan Best XI Khyril dengan bekas pemain import Kedah pada 2004 hingga 2008, Cornelius Bernard Huggins dan bekas pemain kebangsaan Norhafiz Zamani serta S Kunanlan melengkapkan barisan pertahanan.

Penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias menjadi pilihan Khyril manakala Ashari Samsudin mengisi bahagian sayap kiri diikuti Baddrol Bakhtiar di sebelah kanan dan bahagian tengah dikemudi Nelson Sam Martin serta Safiq Rahim.

Dua penyerang menjadi pilihan Khyril ialah dua bekas penyerang Kedah, Marlon Alex James dan Akmal Rizal Rakhli.

Dalam masa sama, Khyril mengakui dia sebenarnya seorang peminat Akmal ketika dalam awal pembabitannya bersama skuad Kedah serta menjadikan pemain itu sebagai idolanya.

“Ketika saya berumur 16 ke 17 tahun dan bersama akademi, saya selalu pergi menonton latihan pasukan senior selepas latihan kami tamat dan Akmal sering kali menjadi pemain yang paling mencuri perhatian.

“Dia umpama idola saya pada waktu itu yang menjadikan saya kian bersemangat untuk bermain bola pada waktu itu kerana mahu jadi sepertinya.

“Bagi saya, Akmal seorang penyerang tulen yang sukar dicari jika dilihat pada teknik gelecekkan dan kekuatan tendangannya secara keseluruhan.

“Akmal juga seorang tajam menyudahkan peluang di depan pintu gol dan saya rasa dia di antara penyerang terbaik yang pernah saya jumpa,” katanya.

Khyril bermain hampir 10 musim bersama Kedah bermula dari 2005 hingga 2014 selain pernah mewakili Negeri Sembilan, AirAsia Allstars, PKNS FC dan Perlis sebelum ke Selangor pada musim lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast