Sebahagian premis perniagaan yang beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Petaling Street, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

Beliau berkata, jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

“Pada masa yang sama, ramai juga yang bimbang jika PKP ditamatkan. Apa akan jadi kepada usaha kita untuk menangani Covid-19.

“Virus ini masih ada di luar sana. Walaupun jumlah kes-kes baharu Covid -19 semakin berkurangan, risiko peningkatan kadar jangkitan tetap ada.

“Ramai yang akan keluar bekerja dan bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini. Dengan itu, adakah ini bermakna wabak Covid-19 akan menular semula,” katanya menerusi Perutusan Khas sempena Hari Pekerja yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau telah berbincang mengenai perkara itu
dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Katanya, kerajaan telah mencari jalan untuk mengimbangi keperluan bagi memulihkan ekonomi negara dan
kepentingan membendung wabak Covid-19.

Ujarnya, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

“Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal,” jelasnya.

Muhyiddin turut memberikan contoh antara perniagaan yang masih tidak dibenarkan iaitu panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan
dan semua bentuk persidangan dan pameran. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Yg ada tu sampai bila2 pun tak yah buka.. ni lah masa gomen nak wat pembersihan mana2 industri yg banyak keraguan. Jangan lepas ni mcm sama je, kang apa pula bala Tuhan bagi.

  2. Kalau Sektor ekonomi dan perniagaan di benarkan, apakah benda PKP tu? Suruh semua anggota PDRM/ATM balik berek la buang masa duduk terpacak tengah jalan. Ingatkan Menteri Kiri Kanan saja yang samdul rupanya PM pun sama.

Comments are closed.