SATU perkara yang masyarakat perlu faham dan jelas ialah keputusan kerajaan beralih dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukan bermaksud penularan wabak Covid-19 di negara kita sudah
berakhir. Kelonggaran yang diberikan ini dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi kembali beroperasi seperti biasa adalah demi untuk mengimbangi dan memenuhi tuntutan dan keperluan ekonomi yang semakin mendesak. Rakyat
terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana perlu kembali bekerja untuk menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup yang seterusnya. Jadi jangan salah faham, lupa dan alpa betapa wabak ini masih bersama-sama dengan kita.
Oleh itu, anggota masyarakat perlu lebih berhati-hati dan berwaspada sekarang kerana kelonggaran yang diberikan boleh menyebabkan kita lupa untuk meneruskan amalan norma baharu yang telah kita budayakan sepanjang fasa PKP selama ini iaitu, menzahirkan tahap disiplin yang tinggi, mengamalkan penjarakan sosial satu meter, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pensanitasi tangan dan kerap membasuh tangan. Kita khuatir anggota masyarakat menjadikan PKPB sebagai lesen besar untuk bebas sepenuhnya.
Harus diingat kes penularan dan angka kematian angkara wabak Covid-19 di seluruh dunia masih cukup membimbangkan. Di negara kita sendiri masih menunjukkan trend turun naik yang mencemaskan, dan jika kita gagal mengekalkan tahap disiplin
yang tinggi, tidak mustahil jumlah kes positif akan meningkat kembali secara mendadak. Apa yang pasti agak mustahil dalam masa terdekat kita mencapai tahap sifar kes baru, dan mustahil juga untuk memperoleh vaksin kerana masih di pelbagai
peringkat uji kaji.
Oleh tu kita berharap anggota masyarakat akan terus berhati-hati dan sentiasa mengutamakan tahap kesihatan dan keselamatan diri yang tinggi. Jangan terlalu teruja apabila dapat keluar dari rumah dan menjalani kehidupan rutin seperti dulu kerana kehidupan itu sebenarnya tidak sama dengan apa yang telah kita lalui sebelum ini. Sedarlah kita sekarang berada dalam persekitaran yang memerlukan amalan budaya dan norma baharu supaya boleh menjadi perisai dan pelindung kepada diri kita. Ringkasnya, kekalkan tahap disiplin yang tinggi jika tidak mahu
mencetuskan gelombang penularan yang baru. Kita juga tidak mahu dek sikap kita yang lupa dan alpa, segala usaha kita dalam membendung penularan wabak ini ketika fasa PKP sebelum ini akan menjadi sia-sia sahaja.
Maka apa yang penting sekarang ialah, tidak kira kita berada di mana sekalipun patuhilah segala arahan, nasihat dan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kini semuanya terserah pada diri kita sendiri di
mana kita perlu menjaga dan melindungi kesihatan dan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain.
Persoalan penting yang perlu difikirkan secara bersama ialah, apakah kita masih mampu mengekalkan tahap disiplin seperti ketika PKP sebelum ini atau sudah tidak peduli lantas mengabaikan semua nasihat dan peringatan dari pihak berkuasa.
Percaya atau tidak, kejayaan pihak berkuasa mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita selama ini banyak dibantu oleh langkah-langkah keselamatan yang telah kita amalkan dan demi memastikan ianya kekal berkesan, kita perlu meneruskan amalan dan norma baharu tersebut.
Justeru besarlah harapan kita agar anggota masyarakat akan terus sedar betapa ancaman wabak ini belum berakhir dan jika kita alpa atau leka ianya boleh mencetuskan gelombang penularan yang baru.
Oleh itu tatkala kita sudah boleh memulakan sebahagian besar aktiviti harian, marilah kita tekad untuk terus mengekalkan tahap disiplin yang tinggi supaya usaha untuk memerangi virus ini tidak terhenti begitu saja. Ingat, peperangan masih belum berakhir dan kita belum boleh isytihar kemenangan. Hakikatnya, kehidupan kita selepas ini pasti berubah dan tidak mungkin kita akan kembali menikmati cara hidup yang sama seperti sebelum wabak ini menyerang. Justeru bersedialah untuk mengharungi gaya hidup norma baharu yang menuntut kita mengamalkan tahap
disiplin yang tinggi dan sentiasa mengutamakan aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan diri, keluarga dan anggota masyarakat yang lain. Semoga rakyat dan negara kita terus dilindungi dari ancaman wabak ini.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM