Anggota tentera membuat kawalan keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap akan memantau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan diPerketatkan (PKPD) walaupun perintah itu telah ditarik balik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, bukan sahaja kawasan PKPD dipantau, sebaliknya langkah itu akan dilakukan disemua kawasan.

“Walaupun PKPD ditamatkan tetapi kita masih pantau kawasan tersebut.

“Tidak semestinya PKPD baru pantau,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman kerajaan untuk menghentikan arahan di beberapa kawasan PKPD semalam.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Kerajaan hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan ke atas Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, dan kawalan sekitar Jalan Masjid India tamat semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, turut tamat semalam kawalan ketat ke atas pusat tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor.

“Bagi PKPD Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur serta Pasar Borong Kuala Lumpur akan tamat pada hari ini,” katanya.

Kawalan ketat bagi Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F PKPD Pusat Bandar Utara dilanjutkan sehingga 12 Mei.

PKPD dikuatkuasakan di Menara City One sejak 31 Mac, melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan.

Selangor Mansion dan Malayan Mansion pula dikawal ketat sejak 7 April, melibatkan 1,850 penghuni.

Kawalan ketat di Sungai Lui, yang melibatkan 7 penempatan, ditarik balik pada 14 Apr, kecuali pusat tahfiz dan sebuah rumah.

PKPD di Pusat Bandar Utara pula dikuatkuasakan sejak 20 Apr.

Pasar Borong Kuala Lumpur antara tumpuan utama untuk barangan mentah di ibu negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noor Hisham memaklumkan, pihaknya telah melakukan ujian saringan terhadap 5,164 pesakit sedia ada melibatkan mereka yang datang untuk pembedahan kecemasan dan separa kecemasan tanpa sebarang tanda gejala, sejarah perjalanan serta kontak dengan kes positif.

“Hasil daripada ujian itu, hanya lima kes sahaja yang didapati positif. Ia bersamaan dengan 0.1 peratus,” ujarnya.

Menurutnya, ujian sama telah dilakukan di Selangor melibatkan 5,433 pesakit.

“Daripada jumlah itu, hanya 10 positif yang mana lapan pesakit tidak bergejala dan dua menunjukkan simptom jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kes positif Covid-19 yang tidak bergejala tetapi jumlahnya masih kecil.

“Kes tidak bergejala disebabkan jumlah kuantiti virus masih berkurangan dalam badan.

“Orang awam yang mempunyai gejala, disaran hadir ke klinik untuk membuat saringan,” katanya. – MalaysiaGazette