KUALA LUMPUR – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19, majoriti rakyat negara ini terjejas daripada pelbagai aspek khususnya ekonomi.

Walaupun memberikan bantuan bagi golongan B40 dan juga M40, namun ia tidak mencukupi, apatah lagi bagi mereka yang bekerja sendiri.

Atas dasar simpati, pemegang amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah tampil menghulurkan bantuan seberapa yang beliau mampu.

Sivakumar atau lebih dikenali dengan pangilan Khanna berkata, beliau sedia maklum dengan kesusahan yang dihadapi masyarakat setempat sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Hampir setiap hari, setiap waktu saya dihujani dengan panggilan dan mesej meminta pertolongan malah saya lihat sendiri penderitaan yang ditanggung segelintir daripada, ada yang buat air mata saya mengalir.

“Kerana itu saya terpanggil untuk turut sama membantu, selama ini juga kami di Kuil Sri Maha Mariamman Devastanam banyak melakukan amal jariah dan kebajikan kepada penduduk setempat khasnya yang kurang berkemampuan.

“Selepas PKP pula, saya memebat perancangan dengan mengenalpasti keluarga serta individu yang sedang melalui fasa yang sukar dan susah. Kemudian saya bersama pasukan saya mula mengedarkan barang-barang keperluan khasnya bekalan dan barangan lain.

“Setakat ini, lebih 3,000 keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang dalam tempoh beberapa hari sahaja. Kami pergi dari rumah ke rumah bagi menyampaikan sumbangan itu berikutan kawalan pergerakan terhad.

“Saya sumbangkan dulu barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, bihun dan lain-lain kerana ianya satu keperluan terdesak kepada golongan ini. Ramai yang begitu miskin sehingga ini juga tidak mampu dibeli oleh mereka dalam kuantiti yang banyak.

“Ramai sebenarnya yang terkesan terutamanya kawasan PKPD, lokasi yang langsung anda tidak boleh keluar untuk mendapatkan barangan asas. Kerajaan serta NGO juga tampil membantu, tetapi ianya menjadi ringan hanya jika kita juga turut sama mainkan peranan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Sivakumar, usaha yang dilakukan atas dasar keprihatinan itu menyaksikan lebih 100 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor berjaya dibantu dengan rata-rata masyarakat India menyambut baik sumbangan tersebut.

Malah permintaan juga meningkat sehingga ada kala beliau tidak dapat memenuhinya, sebaliknya terpaksa mencari alternatif lain.

Sivakumar yang menggunakan laman-laman sosial sebagai platform menyebarkan maklumat berhubung sumbangan tersebut turut merayu kepada penerima agar menyalahgunakan inisiatif tersebut.

“Ramai lagi yang memerlukan, sekiranya tidak jatuh dalam kategori terdesak lebih baik anda bantu pihak tidak berkemampuan itu dapatkan sumbangan serta bantuan tersebut dengan cepat serta efektif.

“Saya berharap ramai lagi akan tampil membantu sebagai tanggungjawab sosial kita ketika negara dilanda krisis pandemik, jangan kita lepas tangan seandainya kita mampu. Kita bantu sesama kita, ianya akan menjadi senang dan bebanan itu tidak ditanggung sendirian,” katanya.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, sepanjang pengagihan bantuan tersebut, pihaknya turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kami sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan amalkan langkah pencegahan lain seperti memakai penutup muka dan hidung, sarung tangan dan menggunakan cecair sanitizer ketika mengagihkan bantuan dari rumah ke rumah demi keselamatan diri dan para penerima bantuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette