Operasi dijalankan oleh setiap agensi dengan pemantauan di lebih 20 kawasan sensitif sumber air.- Sumber hiasan.

KUALA LUMPUR – Inisiatif Kerajaan Selangor melalui pelaksanaan operasi pemantauan 24 jam Ops Sumber Air yang sedang dijalankan sehingga 31 Mei ini berjaya mengekang beberapa insiden pencemaran dan henti tugas loji pembersihan air (LPA) utama walaupun di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi bersepadu yang diketuai oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Operasi dijalankan oleh setiap agensi dengan pemantauan di lebih 20 kawasan sensitif sumber air.

Bermula daripada 18 Mac lalu sehingga 6 Mei 2020, LUAS telah menjalankan sekurang-kurangnya 23 operasi dan rondaan di kawasan-kawasan sensitif di lembangan Sungai. Selangor dan Sungai Langat termasuk empangan-empangan negeri.

Manakala JAS sebanyak 22 operasi meliputi pemeriksaan di kawasan antaranya kawasan perindustrian Hi-Tech 6, Kajang, projek lebuhraya DUKE, EKVE dan SUKE dan kawasan perindustrian Bestari Jaya.

Lebih daripada 10 premis kilang yang berpotensi mencemar telah diperiksa oleh pihak JAS di kawasan-kawasan terlibat.

Pihak SPAN telah menjalankan sebanyak 17 operasi yang meliputi kawasan pemantauan termasuk loji rawatan kumbahan (LRK) Bandar Bukit Mahkota, LRK Bukit Beruntung dan LPA Cheras Batu 11.

Manakala pihak AIR Selangor telah menjalankan sebanyak 30 operasi merangkumi kawasan seperti Sungai Semenyih, Sungai. Beranang, Sungai Gong dan Sungai Sembah.

Di samping itu, pihak IWK menjalankan rondaan dan pemantauan di lurang-lurang kumbahan di lembangan Sungai Selangor, Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Pemantauan pihak IWK juga meliputi kawasan kritikal berhampiran kawasan perindustrian di lembangan-lembangan tersebut dan sepanjang operasi ini dijalankan, beberapa tindakan dan langkah mitigasi telah berjaya dilaksanakan termasuk perobohan struktur premis kolam ikan yang mencemarkan Sungai Selangor.

Operasi perobohan pada 20 April lalu telah diketuai oleh PDT Gombak dan disertai oleh LUAS, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), UPBN, JAS dan PDRM. Sehingga kini, pembersihan dan pengepaman air kolam masih lagi dijalankan dan dipantau rapi oleh LUAS.

Manakala pemantauan empangan-empangan negeri dan kawasan sekitarnya yang dilakukan LUAS juga berjaya mengekang aktiviti pencerobohan dan pencemaran di kawasan tadahan air empangan.

Sepanjang Ops Sumber Air ini dijalankan, dua insiden tumpahan minyak berjaya ditangani dengan segera iaitu insiden di aliran pelepasan kolam sumber air alternatif KL-Larut pada 27 April lalu dan insiden di Stesen Jana Kuasa Kuala Langat pada 4
Mei lalu.

Kedua-dua tindakan pantas ini telah berjaya mengelakkan henti tugas LPA utama di Sungai Selangor dan LPA Labohan Dagang di Sungai Langat.

Dalam masa yang sama, hasil daripada tindakan bersepadu LUAS dan semua agensi terlibat; LPA Rantau Panjang yang dihenti tugas pada 16 April 2020 berjaya beroperasi semula kurang daripada 7 jam,dan henti tugas pada 26 April 2020 berjaya beroperasi semula kurang daripada empat jam.

Secara kesimpulannya, LUAS bersama agensi-agensi berkaitan adalah komited dalam memastikan insiden pencemaran dikekang dan ditangani dengan segera agar LPA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan. – MalaysiaGazette