Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat kluster baharu yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kluster itu dikesan apabila terdapat seorang kakitangan kilang tersebut tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada Selasa lalu.

“Beliau telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian Covid-19 telah dijalankan pada 10 April lalu. Pada 12 April lalu, keputusan ujian pengesanan Covid-19 disahkan positif,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Susulan itu, KKM telah mengadakan siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan tersebut.

Daripada siasatan itu, seramai 786 orang telah disaring untuk Covid-19 yang terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 268 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara,” katanya lagi.

Seramai 53 bukan warganegara itu terdiri daripada 25 kes warga Nepal; 18 kes warga Bangladesh, lapan kes warga Indonesia dan dua kes warga Myanmar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast