Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melihat mushaf Al-Quran bersama Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latik Mirasa (kiri) selepas melancarkan Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya di Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 10 MEI 2020

PUTRAJAYA – Pusat Pengurusan Krisis (CMC) perlu terus menjalankan peranannya dalam mempastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi meskipun ketika ini kerajaan melonggarkan syarat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah sama perlu turut dimainkan oleh kerajaan tempatan selepas lengkuk penularan wabak Covid-19 berjaya dilandaikan.

“Walaupun pergerakan dibolehkan faktor kritikalnya ialah penguatkuasaan SOP.

“Sebab itu kerajaan tempatan mempunyai tanggungjawab yang lebih mencabar lagi sebab kalau dulu kita lock down kita tumpu kawasan tertentu. Bila kita dah buka tapi penguatkuasaan adalah terhadap SOP pula,”katanya pada sidang media selepas pelancaran al-Quran al-Qareem Al-Mushaf di sini hari ini.

Annuar berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya selepas kerajaan mengumumkan PKPB yang sedang berjalan pada masa ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, tumpuan SOP perlu diberi penekanan yang tinggi dikawasan berisiko tinggi seperti di tapak pembinaan.

Ini kerana katanya, di tapak-tapak pembinaan tersebut berlaku beberapa kes positif Covid-19 ekotran tidak ada SOP yang berkesan dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Kita telah berikan arahan mana-mana tapak pembinaan yang tidak memenuhi SOP mereka diminta tutup (operasi).

“Begitu juga termasuk premis perniagaan termasuk restoran tak jaga peraturan kita akan minta ia diarah supaya tutup di bawah undang-undang kecil bangunan atau Akta 342 penularan penyakit berjangkit,” ujarnya. – MalaysiaGazette