MAsjid-masjid di Iran akan dibuka untuk beberapa hari penting menjelang akhir Ramadan. foto Agensi

TEHRAN – Semua masjid di Iran akan dibuka sementara pada hari Selasa selepas kerajaan melonggarkan sekatan.

Keputusan itu dibuat selepas perundingan dengan Kementerian Kesihatan, kata Pengarah Pertubuhan Pembangunan Islam, Mohammad Qomi.

Qomi memaklumkan masjid hanya akan dibuka selama tiga hari untuk memperingati malam-malam tertentu untuk bulan Ramadan namun tidak dipastikan adakah masjid-masjid itu akan terus dibuka.

Keputusan itu dibuat walaupun beberapa bahagian di negara ini mengalami peningkatan jangkitan.

Agensi berita Tasnim melaporkan pada hari Ahad bahawa sebuah daerah di Iran barat daya telah dikenakan perintah berkurung susulan berlaku kenaikan ketara dalam kes jangkitan koronavirus di wilayah Khuzestan.

Jumaat lalu, Iran melaksanakan solat Jumaat di 180 bandar dan pinggir bandar Iran yang berisiko rendah untuk dijangkiti koronavirus setelah masjid-masjid ditutup selama dua bulan, lapor media negara.

Namun, masjid-masjid di Tehran dan bandar-bandar utama masih lagi ditutup.

Sekolah-sekolah pula akan dibuka minggu depan. – MalaysiaGazette