Sebuah premis kebajikan kanak-kanak yang sedang disiasat polis dan JKM mengenai video tular insiden kanak-kanak didera dan diliwat telah disita JKM Gombak baru-baru ini.Foto Ihsan: Baskaran Sundaram.

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah kebajikan kanak-kanak yang dikaitkan berikutan penularan video insiden penderaan kanak-kanak telah disita.

Menurut sumber, premis itu yang didakwa beroperasi tanpa lesen atau permit yang sah selama ini berjaya disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak.

Pada 7 Mei lalu, sebuah NGO, Pertubuhan Bantuan Shasta Selangor membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mendesak polis dan JKM menyiasat status premis itu yang didakwa beroperasi secara haram.

Pengerusi NGO berkenaan, Baskaran Sundaram berkata, premis di Taman Bidara Selayang Gombak diuruskan seorang individu kenamaan bergelar datuk tanpa kelulusan sah dari kerajaan.

“Kami sebelum ini membuat laporan polis minta JKM siasat dan bertindak menyita premis itu sebab dia tidak mempunyai permit sah.

“Pertubuhan Shasta ucapkan syabas kepada JKM kerana bertindak berani menyita premis tanpa kompromi dengan begitu pantas demi keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di kawasan sekitar Selayang,” katanya.

Kata beliau, hasil pemantauan beliau di lokasi tersebut mendapati, pintu masuk utama serta pintu dalam premis berbentuk kediaman teres berkenaan disita dengan pita kuning JKM bagi melarang operasinya.

Beliau juga menyatakan kesediaan NGO dalam membantu pihak berkuasa polis dan JKM dengan menyalurkan aduan atau sebarang maklumat melibatkan kebajikan masyarakat atau kanak-kanak jika disalahgunakan atau dieksploitasi oleh mana-mana individu demi kepentingan diri.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Video dera kanak-kanak, polis ambil keterangan 9 remaja

 

NGO desak siasat pemilik rumah kebajikan terkait kes dera