Suasana lengang berikutan segala aktiviti Solat Jumaat dihentikan sempena Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Hanya Masjid Negara sahaja yang dibenarkan untuk memulakan pelaksanaan Solat Jumaat, solat berjemaah, Solat Taraweh dan Solat Sunat Aidilfitri bermula hari ini.

Dua buah masjid lagi iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya masih lagi dikategorikan berada dalam zon kuning, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Pamuzi Yahya.

Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang serta terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid manakala, jemaah pula akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid.

“Seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan, pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat-syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan pentadbiran masjid.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal,” katanya menerusi hantaran terbaru di Facebook.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri mengumumkan kelonggaran bagi semua masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih di Wilayah Persekutuan dibenarkan mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan Aidilfitri dengan syarat jemaah tidak melebihi 30 orang termasuk imam.

Kelonggaran tersebut dikuatkuasakan bermula hari ini.

Katanya, pihak pengurusan masjid dan surau berkenaan perlu memastikan ada kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis untuk mengawal keadaan.

Ahli Jawatankuasa masjid dan surau berkenaan juga perlu memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara dipatuhi sepenuhnya. – MalaysiaGazette