Orang ramai hadir bagi membuat urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 18 MEI 2020

SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan tidak terburu-buru datang ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Lesen Memandu yang tamat tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, ini kerana sepanjang tempoh PKP, pihaknya tidak melaksanakan penguatkuasaan berkaitan dua lesen itu yang tamat tempoh.

Sebaliknya, orang ramai dibenarkan memandu kenderaan persendirian ataupun kenderaan dagangan di atas jalan raya dengan syarat insurans perlindungan diperbaharui.

“Orang ramai masih boleh memandu walaupun LKM atau Lesen Memandu telah tamat tempoh dengan syarat membawa nota perlindungan insurans yang masih sah dan berkuatkuasa.

“Pengecualian ini adalah menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang media di JPJ Negeri Selangor Padang Jawa, di sini, hari ini.

Terdahulu Shaharuddin membuat lawatan kerja di JPJ Negeri Selangor yang membuka kaunternya untuk semua jenis urus niaga kepada orang ramai, bermula hari ini.

JPJ Negeri Selangor di Padang Jawa di sini antara 82 pejabat agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan yang dibuka hari ini di mana waktu operasinya bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Sebelum ini, pejabat JPJ ditutup sementara bermula 20 Mac 2020 sebagai langkah untuk mencegah pandemik Covid-19 selaras dengan PKP yang dikeluarkan kerajaan.

Selain itu, katanya sebanyak 17 kaunter bergerak JPJ dan 51 kiosk dibuka sepenuhnya bagi membantu melancarkan penyampaian perkhidmatan.

Sementara itu, JPJ juga masih menangguhkan pembaharuan bagi Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh sepanjang PKP lalu.

Jelasnya, pemegang lesen LDL atau lebih dikenali dengan lesen L hanya dibenarkan memperbaharuinya bermula 1 Jun ini.

“Transaksi lesen L sama dengan hari kita membenarkan pihak institut memandu melaksanakan tugas masing-masing.

“Kepada pemegang lesen L yang ingin perbaharui lesen L bermula hari ini hingga Jun ini tidak dibenarkan sebab sistem belum dikemaskini. Kita akan kemaskini untuk lesen L pada 1 Jun.

“Siapa yang memiliki lesen L, kita benarkan dia memandu di jalan raya dengan syarat kenderaan yang dibawa hendaklah mempunyai perlindungan insurans,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ hanya akan melakukan penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan selain daripada lesen memandu dan LKM yang tamat tempoh.

“Penguatkuasaan untuk kesalahan lain masih kita fokus contoh kenderaan perdagangan lebih muatan, had laju, tidak pakai tali pinggang, langgar lampu merah, guna telefon semasa memandu, tak pakai helmet, kenderaan guna tayar celup tidak ikut spesifikasi dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette