Seramai 44 personaliti dan syarikat korporat cemerlang daripada pelbagai cabang industri menerima pengiktirafan pada The Knights Award 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ikon fesyen ternama negara, Datuk Seri Bernard Chandran antara individu yang diiktiraf dalam The Knights Award 2024 Musim Ketiga baru-baru ini.

Menerusi anugerah yang memasuki edisi ketiga yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Bernard dipilih sebagai pemenang kategori Duke untuk individu atas sumbangan besarnya dalam bidang fesyen.

Antara pemenang individu bagi Kategori Duke termasuk; Penyanyi Antarabangsa (Amerika Utara), Daniel Powter; Pereka Pewangi Lagenda Sepanjang Zaman (UAE) Dr Yusuf Bhai; usahawan paling inspirasi tahun Ini, Felix Demin dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Wanita Ikonik Timur (Hong Kong) Law Lan.

Menurut Bernard, pengiktirafan tersebut merupakan satu kenangan manis dan paling berharga baginya sepanjang karier bergelar pereka fesyen.

“Anugerah ini begitu istimewa buat saya dan ia bukti kepada perjalanan karier fesyen saya selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada majlis sama, penyanyi popular kelahiran Indonesia, Putri Ariani turut terpilih memenangi anugerah kategori Earl bagi individu, namun tidak dapat menghadirkan diri.

Bagi Putri, 18, yang dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dengan masalah penglihatan, dia bersyukur atas pengiktirafan keemasan itu.

Sementara itu, Presidennya, Dr. Zyro Wong berkata, The Knights Award 2024 Musim Ketiga – Edisi Global itu meliputi tiga kategori anugerah iaitu Duke, Earl dan Baron.

Jelasnya, anugerah tersebut mengiktiraf usaha cemerlang dan sumbangan individu bukan saja kepada pertumbuhan ekonomi negara ini tetapi juga seluruh Asia.

Dr Yusuf Bhai antara penerima anugerah Knights Award 2024, baru-baru ini.

“Sejajar dengan misi, kami dengan bangganya menyepadukan matlamat rancangan Malaysia Madani ke dalam The Knights Award.

“Anugerah ini boleh menjadi satu kerjasama strategik yang bertujuan memartabat Malaysia di persada antarabangsa sebagai pusat kecemerlangan dan inovasi,” ujarnya.

Tambah beliau, visinya juga adalah untuk merentasi sempadan negara yang bertujuan membina ekosistem perniagaan teguh serta membolehkan usahawan membentuk jaringan kerjasama.

The Knights Award musim ketiga yang dibawakan Mee Hiris China Muslim mengiktiraf 44 personaliti dan syarikat korporat yang cemerlang daripada pelbagai cabang industri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast