Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menyasarkan laporan kes Covid-19 dua digit yang lebih rendah daripada apa yang dilaporkan ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes dua angka yang dilaporkan sejak beberapa minggu lalu secara konsisten menunjukkan kebanyakan kes di bawah 50 kes dan kebanyakannya kes bukan melibatkan warganegara walaupun jangkitan berlaku dalam negara.

“Kita ada dua kawasan aktif Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Pasar Chow Kit dan lokaliti Pudu yang secara aktif menyasarkan saringan terhadap warga asing di sana yang mana transmisi lokal, tapi majoritinya adalah warga asing.

“Semalam sama juga tetapi warga Malaysia kurang 10 atau 12 kes sahaja tetapi warga asing lebih sedikit dan kami masih dalam sasaran modeling apabila lihat semula dua minggu terawal 4 Mei sehingga sekarang kes tak meningkat tapi pada masa sama tidak menurun sepantas yang kita kehendaki.

“Tetapi kami masih meneruskan usaha untuk mengekalkan 20 kes atau 15 kes dan Pasukan Kesihatan Awam boleh bertindak dan ia penting untuk kita mengelak jangkitan merebak pantas,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau dalam perkembangan sama mengharapkan dalam beberapa hari akan datag KKM dapat mengekalkan secara konsisten kes dua digit.

Menurutnya, sejak PKP ketiga KKM berjaya mengekalkan kes Covid-19 dua angka dan pada masa sama mahu memastikan tiada penurunan atau kenaikan mendadak secara mengejut sehingga tiga angka.

“Selagi kes kekal bawah 50, saya gembira tetapi sasaran kami sebenarnya adalah mendapatkan angka dua digit lagi rendah atau serendah boleh dan kita hanya boleh mencapainya jika wujud kerjasama dengan orang awam mematuhi segala Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette