KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan pembayaran bantuan kewangan khas tahun 2020 kepada 6,000 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) berjumlah RM500 secara sekali bayaran.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pembayaran ini akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun bank kakitangan KTMB mulai 21 Mei 2020 bersama dengan bayaran gaji untuk bulan Mei ini.
“Kementerian sememangnya peka dan prihatin dengan nasib yang menimpa warga KTMB ketika ini tambahan pula terpaksa berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19.
“diharapkan pembayaran bantuan RM500 ini sedikit sebanyak dapat menceriakan warga KTMB khususnya bagi meraikan hari perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sebelum ini, Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (KPPKTMB) merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk campur tangan dalam menangani isu kewangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ekoran kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan operasi kargo dan penumpang.
Sejak PKP dilaksanakan, jumlah penumpang KTMB menyusut hampir 80%, sekali gus menjejaskan aliran kewangannya.
Akibatnya, KTMB didakwa terpaksa membayar gaji dua kali sebulan dan pembayaran dibuat lewat berbanding sebelum ini. – MalaysiaGazette
Kewangan KTMB nazak, sambutan Aidilfitri 6,000 kakitangan suram