Kejatuhan jumlah penumpang akibat pelaksanaan PKPB menjejaskan pendapatan KTMB. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Menjelang 11 hari lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, kira-kira 6,000 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) risau memikirkan nasib masing-maisng berikutan kekangan kewangan yang melanda dalam syarikat pengangkutan tersebut.

KTMB didakwa mengalami kemerosotan kewangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila perkhidmatan penumpangnya menjunam antara 75% hingga 80%.

Akibatnya, syarikat pengangkutan yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan itu kehilangan pendapatan besar, sekali gus memberi kesan terhadap pembayaran gaji kepada kakitangannya.

”Bayangkanlah (contoh) kalau dahulu kami dapat RM10 daripada setiap penumpang tapi sekarang hanya dapat RM2.50 dan RM2 sahaja.

“Dengan duit itulah KTMB gunakan untuk menampung kos operasi dan perbelanjaan syarikat. Kos operasi KTMB besar kerana menggunakan sumber elektrik, selain kos-kos lain.

“Walaupun penggunaan tren terhad sekarang tetapi kos penyelenggaraan perlu ditanggung untuk memastikan aset-aset dalam keadaan baik,” kata Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (KPPKTMB), Abdul Razak Md Hassan kepada MalaysiaGazette.

Disebabkan kewangan KTMB yang kritikal, syarikat sudah tidak mampu memberi gaji dan faedah sekali pada setiap bulan.

Sejak dua bulan lalu, kakitangan dibayar gaji dua kali sebulan, selain tidak lagi menerima gaji lebih awal seperti sebelum ini.

Setiap awal bulan, katanya, KTMB hanya melunaskan gaji pokok dan pada 15 hari bulan pula, pekerja menerima bayaran faedah termasuk elaun, kerja lebih masa dan lain-lain.

Abdul Razak berkata, walaupun operasi komuter sudah berjalan seperti biasa namun jumlah penumpang hanya 50% sahaja, manakala perjalanan ETS pula terhad disebabkan PKPB.

Oleh itu, KPPKTMB merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk campur tangan dalam menangani isu kewangan KTMB, sekiranya dapat memberi suntikan dalam membantu kelangsungan kos perbelanjaan yang hilang.

Abdul Razak berkata, nasib kakitangan penjawat awam lebih beruntung berbanding mereka kerana diberikan Bantuan Khas PKP sebanyak RM500 dan Bantuan Khas Aidilfitri RM500 lagi.

“Sungguh bertuahnya penjawat awam berbanding pekerja KTMB, yang taraf pekerjaannya adalah sama dengan sektor awam di bawah ‘perkhidmatan sosial’.

“Bukan kami iri hati dengan penjawat awam tetapi kami tidak ingin dipinggirkan, apatah lagi bukan kehendak kami untuk menerima KTMB diswastakan.

”Kami pekerja menjadi mangsa keadaan, bukan sahaja gaji kami rendah, malah faedah yang wajar dinikmati juga tidak kesampaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Abdul Razak memaklumkan pengurusan KTMB telah memohon kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk Bantuan Khas PKP kepada kakitangan syarikat pengangkutan ini namun sehingga hari ini kelulusan belum diberikan.

Lebih menyedihkan lagi, tambahnya, dengan kedudukan semasa kewangan KTMB, peruntukan syarikat untuk Bantuan Khas Hari Raya juga semakin kabur.

”Sejujurnya kesatuan amat khuatir dengan masalah ini akan membebankan pekerja KTMB yang rata-rata berpendapatan rendah, apatah lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang.

“Kesatuan telah merayu kepada syarikat agar gaji pada bulan ini dapat dibayar sekali dengan faedah seperti mana yang dinikmati oleh penjawat awam memandangkan kakitangan KTMB juga terdiri daripada perkhidmatan sosial,” ujarnya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Woii bodoh.. Time untong time rakyat dpt manfaat ko x sebut bila nk bungkus ni ko salah kn TUN.. Bagerooo

  2. adakah KTMB tak bayaq gaji pekerja.. ataupun anda di beri option untuk duduk di luaq pagaq.. common..

Comments are closed.