KUALA LUMPUR –  Hentian Sebelah Lagong Arah Utara ditutup sementara selama empat bulan bermula 29 April ini bagi memberi ruang untuk kerja-kerja membaik pulih dijalankan.

Prolintas Expressway Sdn. Bhd. (PESB) menerusi kenyataan berkata, susulan itu semua kemudahan seperti tandas awam dan surau di hentian sebelah itu akan ditutup dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, pengguna Lebuhraya GCE disarankan untuk menggunakan fasiliti dan kemudahan di hentian sebelah yang berdekatan seperti di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang Arah Utara (PLUS) atau R&R Kundang Arah Barat (LATAR) sebagai alternatif.

“Kerja-kerja membaik pulih ini adalah komitmen berterusan Prolintas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh rayanya,” katanya.

Pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) berkenaan menyarankan pengguna supaya menghubungi talian hotline Prolintas di 1800-22-8888 atau e-melkan kepada [email protected] bagi mendapatkan maklumat lanjut. -MalaysiaGazette