Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir bercakap kepada media ketika perhimpunan Referendum Tuntutan Pengeluaran Wang KWSP Bersasar di perkarangan luar Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 04 MARCH 2024.

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mendakwa Akaun Fleksibel (Akaun 3) Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) tidak mendatangkan manfaat kepada kumpulan pencarum yang terdesak.

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, Akaun Fleksibel hanya membantu pencarum yang tidak terkesan dengan himpitan ekonomi dan membolehkan mereka membuat pindahan Akaun Sejahtera (Akaun 2) dalam jumlah yang besar.

“Bagaimana pula dengan pencarum yang benar-benar memerlukan pengeluaran untuk menampung kehidupan mereka yang tersepit di mana kebanyakan mereka tidak lagi mempunyai baki yang banyak didalam Akaun 2.

Azmi Mohd Tahir

“Ini kerana akaun tersebut telah dimanfaatkan bagi tujuan pengeluaran pelbagai seperti pendahuluan deposit rumah, pengurangan bayaran bulanan rumah, pengeluaran anak untuk melanjutkan pelajaran dan kesihatan,” kata beliau.

Serentak itu, PGIRM mencadangkan KWSP memberi kelonggaran pengeluaran daripada Akaun 1 dengan membenarkan pemindahan dilakukan mengikut formula 15/30 kepada pencarum yang mempunyai baki kurang RM3,000 dan ke bawah dan pencarum yang tidak mempunyai baki di dalam Akaun 2.

Pendekatan tersebut, dakwa beliau, dapat membantu meringankan beban golongan terdesak demi kelangsungan hidup sekaligus memberikan keadilan kepada pencarum terbabit.

Beliau turut mencadangkan caruman Akaun 1 kekal 70 peratus, Akaun 2 (25 peratus) dan Akaun 3 (5 peratus) ini kerana Akaun 2 sangat penting kepada pencarum di masa hadapan.

KWSP semalam mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024.

Semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Manakala Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek dan simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel. – MalaysiaGazette