Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

SAYA fikir adalah penting untuk saya memberikan pandangan atau maklum balas kepada kenyataan (sama ada dalam bentuk tulisan atau karikatur) yang seakan menyindir Yang di-Pertuan Agong berikutan baginda menggunakan istilah “Kerajaan Beta” dalam Titah Diraja sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada 18hb Mei 2020 yang lepas.

Suka saya tegaskan bahawa penggunaan istilah “Kerajaan Beta” dalam Titah Diraja bukan perkara baharu. Sultan Muhammad V dalam Titah Diraja pada sesi pembukaan Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 juga menggunakan istilah “Kerajaan Beta”. Saya petik titah KDYMM Sultan Muhammad V seperti berikut:

Kerajaan beta akan meneruskan pelaksanaan pelbagai program dan projek bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan termasuk di Sabah dan Sarawak. Ini selaras dengan dasar kerajaan agar kehidupan rakyat dipertingkatkan dan kekayaan negara dikongsi secara adil dan saksama.

Malah sebelum ini, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Kedua Belas pada 7 Mac 2011 Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin juga telah menggunakan istilah “Kerajaan Beta”. Saya petik sebahagian daripada titah KDYMM Tuanku Mizan,

…Dalam hal ini, Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah mengambil langkah yang tepat untuk melaksanakan transformasi berlandaskan 4 tonggak utama, iaitu Gagasan 1Malaysia,…

Pendek kata, penggunaan istilah “kerajaan beta” ini bukanlah suatu isu yang perlu diperbahaskan, ia telah lama, dan biasa digunakan dalam titah Yang di-Pertuan Agong. Terdapat beberapa Titah Diraja lain yang menggunakan frasa “Kerajaan Beta”.

“Kerajaan Beta” dalam Sistem Raja Berperlembagaan

“Kerajaan Beta” adalah terjemahan dan adaptasi kepada frasa “His/Her Majesty’s Government” yang digunakan oleh negara-negara komenwel. Istilah ini menggambarkan amalan sistem raja berperlembagaan, bukan sistem raja mutlak. Ia  bagi mengelakkan daripada kerajaan dianggap sebagai kerajaan “Perdana Menteri” atau kerajaan mana-mana parti politik seperti yang sering digunakan di negara kita, seperti Kerajaan Barisan Nasional (BN), Kerajaan Pakatan Rakyat (PR), Kerajaan Pakatan Harapan (PH), atau ketika ini, Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Telah menjadi trend juga pada ketika ini merujuk sesebuah kerajaan kepada nama Perdana Menteri.

Pada padangan saya, walaupun benar sesebuah kerajaan diikat kepada parti politik atau gabungan parti politik, atau, sesebuah kerajaan diikat kepada ketuanya, iaitu Perdana Menteri, namun itu tidak semestinya tepat untuk penggunaan istilah kerajaan sesebuah parti politik atau kerajaan seorang Perdana Menteri.

Walaupun tiada peruntukan undang-undang atau peraturan tertentu yang menghalangnya, penggunaan nama parti politik atau fiqura utama adalah tidak menzahirkan hubungan sebenar antara raja dan kerajaan. Ia akan menghilangkan tetapan keterlihatan (visibility setting) institusi beraja, atau tiada penzahiran tentang institusi beraja. Ketiadaan penzahiran kedudukan institusi beraja dalam istilah tersebut akan secara langsung menenggelamkan peranan dan fungsi institusi beraja pada pandangan masyarakat umum.

Keadaan ini, secara beransur-ansur akan menghakis perkaitan antara kerajaan dan raja. Perkara ini juga akan akhirnya membuat rakyat lupa atau tidak dapat melihat kepentingan dan sumbangan sistem raja berperlembagaan dalam pembentukan dan pelaksanaan kuasa perlembagaan institusi beraja. Rakyat akan hanya mengenali sistem demokrasi berparlimen, tidak raja berperlembagaan. Keadaan tidak tepat dalam amalan dua sistem yang beriringan dan saling bergandingan ini sekiranya salah satu daripadanya dianggap mengatasi yang lain.

Justifikasi penggunaan frasa “Kerajaan Beta” di Malaysia

Istilah “Kerajaan Beta” tiada dalam undang-undang dan tiada dalam dokumen sejarah Perlembagaan. Ia digunakan berasaskan kepada amalan dalam negara-negara komenwel. Perubahan masa yang juga berlakunya perubahan dalam intipati sistem raja berperlembagaan, seperti di Britain, terdapat negara yang tidak lagi menggunakan “His/Her Majety’s Government”, sebaliknya menggunakan nama Perdana Menteri. Namun, bagi negara kita, “Kerajaan beta” sesuai digunakan. Saya cuba menghujahkan padangan saya seperti berikut.

Saya melihat kepada sejarah, dan ringkasnya saya merujuk kepada Laporan Suruhanjaya Perlembagaan. Berikut adalah petikan perenggan ke-58, Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission atau juga lebih dikenali sebagai Laporan Suruhanjaya Reid:

Bagi tujuan tulisan in saya hanya mahu merujuk kepada bahagian yang merujuk kepada ciri-ciri raja berperlembagaan di Malaysia. Antara perkara utama berkaitan kedudukan raja berperlembagaan;

  1. The Yang di-Pertuan Besar (later changed to Yang di-Pertuan Agong) will be the Head of the State, but he must be a constitutional Ruler.

Yang di-Pertuan Agong akan menjadi Kepala Negara, tetapi baginda hendaklah menjadi raja berperlembagaan.

  1. He must therefore act on the advice of his Ministers with regard to all executive action.

Justeru, baginda hendaklah bertindak atas nasihat Menteri-menteri baginda mengenai tindakan pentadbiran.

  1. He will be a symbol of the unity of the country.

Baginda akan menjadi simbol perpaduan bagi negara.

  1. The choice of the Prime Minister (was recommended) should be his constitutional responsibility.

Pemilihan Perdana Menteri dicadangkan sebagai tanggungjawab (yang diberikan oleh) perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

  1. The dissolution of Parliament (was recommended) should be his constitutional responsibility.

Pembubaran parlimen juga dicadangkan sebagai tanggungjawab (yang diberikan oleh) perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

  1. His Majesty will be entitled to be kept informed with regard to important public affairs; and

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berhak untuk terus diberitahu mengenai hal ehwal awam yang penting;

  1. To make his views known to the Prime Minister

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menyampaikan pandangan baginda kepada Perdana Menteri

  1. He will be entitled to confer honours

Baginda berhak untuk menganugerahkan pangkat kehormat

  1. The commissions and appointments will be granted or made by him or in his name.

Suruhanjaya dan lantikan akan diberikan atau dibuat oleh baginda atau atas nama baginda

  1. He will have important formal functions to perform

Baginda akan mempunyai fungsi formal yang penting untuk dilaksanakan

  1. Parliament should vote a Civil List to each Yang di-Pertuan Besar for the duration of his appointment

Parlimen harus memilih Senarai Sivil* bagi setiap Yang di-Pertuan Agong selama pelantikan baginda

*Senarai Sivil ialah Peruntukan Diraja

Begitulah Sepuluh (10) prinsip yang dinyatakan dalam cadangan Suruhanjaya Perlembagaan atau Suruhanjaya Reid berkaitan sistem raja berperlembagaan di Malaysia.

Seandainya diperhatikan secara bersungguh-sungguh kepada cadangan Suruhanjaya Reid ini maka tidak akan wujud persoalan tentang kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri kerana ia adalah antara cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid berdasarkan kepada persetujuan semua pihak yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan dan Perlembagaan Persektuuan.

Sekiranya pernyataan ini dihayati, akan juga didapati bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Negara (yang sering juga dirujuk sebagai Ketua Negara) adalah bukan semata-mata boneka. Baginda berhak mendapatkan maklumat mengenai hal ehwal negara yang memberikan kesan ke atas perkara awam.

Berkaitan dengan ini, menarik sekali untuk diberikan perhatian oleh seluruh rakyat Malaysia bahawa sebagai raja berperlembagaan baginda bukan semata-mata simbol, tetapi baginda mempunyai hak dan kuasa menasihati kerajaan atau menyampaikan pandangan baginda kepada kerajaan.

Oleh kerana hubungan sebegini antara institusi beraja dan kerajaan, maka adalah tepat untuk baginda menggunakan istilah “Kerajaan Beta”.

 Ketidakbaikan Penggunanaan “Kerajaan Beta”

Walaupun nampaknya ia adalah sesuai dan baik untuk penggunaan “Kerajaan beta”, namun, alam kedaaan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri, adakalanya keputusan yang diambil oleh kerajaan adalah tidak semestinya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Maka Yang di-Pertuan Agong tidak perlu menggalas beban kesilapan kerajaan sekiranya berlaku.

Dalam konteks ini, kerajaan, walaupun boleh bertindak tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal-hal pentadbiran, selain daripada yang berkaitan dengan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, kerajaan hendaklah juga memaklumkan perkara besar yang dilakukan kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda pula adalah berhak untuk mendapatkan maklumat berkaitan hal ehwal negara daripada pihak kerajaan.

— Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

3 Komen

  1. Kerajaan PN adalah kerajan YDPA.
    PH dan penyokong2nya yg tak puas hati Kita jumpe di GE15.
    Tak perlu NK perlekeh YDPA, raja-raja melayu.

  2. bukan test pun…mahathir mengeCes jawatan pm sekali lagi yg ketiga..salah pencaturan letak jawatan nak test market utk sokongan jadi pm balik.Sendiri kasi HANCUR TAPI tidak Malu nak salahkan pihak lain….umno 46 diharamkan dan krisis perlembagaan /memali angkara tun.benarlah melayu mudah lupa.

Comments are closed.