Foto Instagram Zarina Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Pelakon Zarina Zainuddin berkongsi keindahan hidup bersama madunya, Datin Seri Noorhasimah Mohd Noor hampir 27 tahun yang banyak mengajar dan membimbingnya ke jalan yang benar.

Menurut Zarina, dia menyanjungi dan sangat mengasihi madunya itu kerana setia berada di sisi ketika dia kehilangan datuk dan nenek serta menenangkannya ketika dia tidak mampu melakukan apa-apa.

Malah, Noorhasimah juga mengajarnya berniaga dan kini bersama-sama menguruskan perniagaan.

Tambah Zarina, kasih sayang terhadap suami sama taranya kepada wanita itu.

“Insan yang amat saya sanjungi. Yang mengajar saya tentang kehidupan yang selalu menegur salah saya yang membimbing saya ke jalan yang benar.

“Diizinkan saya berkongsi kasih dengannya, saya yang tak pandai diajar saya berniaga, saya diberi carum EPF saya ada diberi gaji bulan bulan sampailah sekarang saya ada EPF ini semua berkat saya bekerja dengannya dulu.

“Sekarang syarikat tu tetap kami teruskan walaupun tak gah di mata orang tapi bagi saya itulah asal saya melabuhkan diri belajar tentang kehidupan. Macam mana banyaknya saya sayang suami saya begitu juga banyaknya saya sayang padanya,” tulis di Instagram miliknya.

Zarina mengakui dia banyak melakukan kesilapan di dalam hidupnya namun Allah SWT memberi peluang untuknya memperbaiki diri.

Zarina mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Raihan Wan Jaafar pada 13 Julai 1993 dan dikurniakan anak kembar istimewa, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 24, Muhammad Naim Azrai, 17, dan Muhammad Adam Azrai, 14. – MalaysiaGazette