KUALA LUMPUR – Seramai 39, 820 rakyat Malaysia yang pulang ke tanahair telah dikuarantin secara wajib sejak 3 April lalu manakala 31,865 individu yang dikuarantin dan selesai menjalani tempoh kuarantin dibenarkan pulang.

Menteri Kanan (Kluster) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam sahaja, seramai 582 rakyat Malaysia telah pulang dan dikuarantin wajib selama 14 hari.

Kata beliau, pejabat kedutaan Malaysia di luar negara kini sedang mendapatkan maklumat tentang rakyat Malaysia yang akan pulang ke tanahair.

“Maka saya mohon mereka perlu memaklumkan pejabat pesuruhjaya tinggi kita di luar negara supaya mudah uruskan dan dipantau kemasukan mereka ke negara kita.

“Kita tahu bahawa kini musim panas akan bermula dari Jun hingga September ini dan tidak pasti seramai mana hendak pulang.

“Jadi saya minta rakyat kita di luar negara mendaftar di pejabat kedutaan di situ, manakala rakyat kita dari Singapura hanya dibenarkan dengan bilangan 400 orang sehari merentasi sempadan ke Johor Bahru tetapi terdahulu wajib memperoleh permit masuk menerusi pejaat pesuruh jaya kita di Singapura bagi memudahkan urusan kepulangan mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru katanya, sehingga 8 pagi hari ini, sebanyak 271 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 268 pusat pada hari sebelumnya yang mana 19, 262 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Dalam satu lagi perkara op sanitasi awam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismai Sabri menjelaskan sejak 30 Mac 2020 hingga kini, sejumlah 7,024 operasi sanitasi yang merangkumi 174 zon,termasuk 78 zon kuning dan merah, sebanyak 10,665 premis telah disanitasi.

Jumlah itu katanya, terdiri daripada 2,613 pusat perniagaan, 3,850 bangunan kerajaan, 1,578 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,275 tempat awam dan 349 pasaraya.

“Manakala semalam sahaja 73 op sanitasi meliputi 27 zon merah dan zon kuning di 13 negeri termasuk 16 operasi di Sabah, 16 di Sarawak, 12 di Johor, dan 19 operasi sanitasi di Kedah,” ujarnya.-MalaysiaGazette