Diantara aktiviti penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal sempena Hari Raya Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal, Sungai Buloh, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

PETALING JAYA – Sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, hangat diperkatakan tentang sektor-sektor yang terjejas, tentunya tumpuan kepada bidang perniagaan dan pendidikan.

Selepas PKP disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula, tidak ramai yang terfikir apakah nasib anak-anak yatim yang mendiami rumah-rumah kebajikan di seluruh negara.

Apatah lagi norma biasa setiap kali tibanya Ramadan dan Aidilfitri golongan ini sering mendapat perhatian serta dilimpahi pelbagai bantuan oleh mereka yang prihatin terhadap keperluan rumah-rumah kebajikan.

Tidak ketinggalan terkesan dengan perubahan yang ketara berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKPB adalah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal yang bertempat di Sungai Buloh.

Kalau dulu sepanjang bulan Ramadan rumah tersebut meriah dengan 18 anak yatim dan asnaf yang bersama-sama mengimarahkan bulan yang mulia seterusnya bersama-sama membuat persediaan Aidilfitri, namun tahun ini rumah tersebut sunyi sepi.

Daripada 18 penghuni, yang tinggal hanya dua anak yatim dan seorang kanak-kanak asnaf.

MalaysiaGazette yang meninjau rumah tersebut baru-baru ini, turut merasai kesunyian rumah itu.

Pengurus Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf Amal, Marlina Jahan ketika ditemui Sungai Buloh, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

Marlina Jahan, 37, Pengurus Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal berkata, sejak 18 Mac lalu 15 daripada tiga anak yatim dan asnaf telah dihantar kepada waris mereka kerana bimbang penularan pandemik Covid-19.

Jika Ramadan yang lalu, rumah yang dihuni remaja dan kanak-kanak perempuan itu meriah dengan tadarus Al-Quran, menghafal, menyediakan juadah berbuka bersama-sama, namun kini tidak lagi.

Diantara aktiviti penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal sempena Hari Raya Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal, Sungai Buloh, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

Bukan itu sahaja, mereka menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesederhanaan kerana kekangan kewangan.

Namun dalam keadaan serba kekurangan kerana ketiadaan dana sumbangan dan hanya bergantung kepada apa yang ada, Marlina tetap memastikan tiga penghuni di situ yang beraya di rumah tersebut tahun ini dapat merasai suasana hari raya.

“Kalau sebelum-sebelum ini memang akan ada jemputan berbuka di luar, tahun ini tidak ada langsung, kita cukup bersederhana.

“Persediaan Aidilfitri tidak macam sebelum ini, biasa ada yang hantar juga bantuan, bagi duit raya tahun ini tidak ada lagi tapi kita masih raikan anak-anak ini seperti biasa.

“Kita buatkan mereka baju raya. Memang setiap tahun kita buatkan baju seorang dua pasang cuma tahun ini persediaan agak terhad,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Amal itu juga menyediakan kemudahan pendidikan kepada para penghuninya dengan madrasah yang ditubuhkan di situ.

Meskipun pertubuhan tersebut sedang berperang dengan kekangan kewangan Marlina tetap berazam untuk meneruskan operasi rumah yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu itu, demi membantu anak-anak yatim dan asnaf dari kalangan perempuan.

Ditanya mengapa memfokus kepada perempuan, mudah sahaja jawapannya, iaitu beliau mahu melindungi kaum itu daripada bergelumang dengan masalah sosial tatkala dihimpit dengan kesusahan hidup dan masalah keluarga.- MalaysiaGazette