Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan agar mana-mana individu yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah agar tidak melanggar perintah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu yang diarahkan untuk menjalani kuarantin ditegah untuk meninggalkan rumah masing-masing untuk tujuan tertentu.

“Kalau mereka keluar rumah pergi jogging, pergi pasar, itu bukan kuarantin. Jadi apa yang kita laksanakan setakat inilah mandatory kuarantin, jadi mereka balik dari luar negara mesti dikuarantinkan untuk tempoh 14 hari iaitu di tempat yang telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa.

“Kita nasihatkan mereka yang ditetapkan kuarantin di rumah duduk di rumah apa yang kita akan laksanakan ialah pemantauan sama ada mereka keluar dari rumah ke tak.

“Kalau mereka keluar dari rumah, mereka telah ingkar kepada peraturan ataupun perintah kuarantin di rumah,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan seorang lelaki di Sibu, Sarawak yang menanggalkan gelang tangan pengesanan Covid-19.

Mengikut laporan, lelaki itu dilaporkan tiba di Sibu pada 17 Mei lalu dari Kuala Lumpur dan diarah menjalani kuarantin wajib di rumah sehingga 30 Mei.

Bagaimanapun, individu tersebut ingkar dan menanggalkan gelang tangan pada hari ketujuh dan pergi ke sebuah kedai makan di bandar berkenaan.

Gelang tangan pertama kali digunakan di Sarawak yang berfungsi untuk melaporkan lokasi dan menggalakkan individu yang menerima notis duduk di rumah untuk terus mematuhi arahan kuarantin.

Malah, maklumat terperinci dapat dikongsi dengan menggunakan telefon pintar menerusi bacaan kod QR pada peranti yang diikat di pergelangan tangan itu.

Untuk rekod, sesorang yang ingkar dan menanggalkan gelang tersebut boleh didenda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan kompaun tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette