Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata bagaimanapun pihaknya akan menunggu sehingga Isnin depan, sebelum semua cadangan mengenai projek tersebut dimuktamadkan.
Madani Sahari

KUALA LUMPUR – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Sengenics Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan pembangunan dan pengkomersialan produk, perkhidmatan dan teknologi berkaitan sistem pengurusan kesihatan serta kadar diagnosis yang lebih efisien (high throughput diagnostics) bagi penyakit berjangkit dan tidak berjangkit di dalam industri dan bidang komersil.

Ketua Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, pemeteraian MoU itu adalah mendokong usaha pembangunan ImmuSAFETM iaitu kit ujian antigen kualitatif dan kuantitatif Covid-19 pertama dunia bagi mengesan dan mengira kadar pelindungan antibodi SARS-CoV2 di dalam seseorang individu.

Jelas beliau, kasil keputusan yang dijana ImmuSAFE adalah kuantitatif sepenuhnya, membolehkan ukuran kehadiran atau ketiadaan antibodi dan juga penentuan tahap antibodi.

Menurutnya, ia adalah kritikal bagi memastikan kadar antibodi di dalam seorang individu mampu menjadi pelindung selepas jangkitan berlaku dan membawa impak luas bagi industri serta kilang apabila pesakit pulang semula ke tempat kerja.

“Situasi COVID-19 mengajar kita bahawa penularan wabak bukan sahaja menghentikan kehidupan seharian, malah menunjukkan kepentingan industri kepada ekonomi. Di dalam era pendigitalan, teknologi digital dan sektor kesihatan perlu mula digandingkan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua.

“MoU ini bukan hanya penting di dalam menangani wabak COVID-19, malah menjadi detik penting di dalam pembangunan produk perubatan baharu, perkhidmatan berasaskan teknologi IoT (internet of things), dan pengumpulan maklumat tepat yang dapat dilakukan melalui pengurusan data raya”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Madani berkata, Sengenics telah berjaya menghasilkan antigen rekombinan berfungsi (functional recombinant antigens) daripada virus SARS-CoV2 di dalam makmal yang membuka peluang bagi pembangunan vaksin tempatan.

“Kejayaan program pembangunan vaksin tempatan mampu meningkatkan keupayaan negara membasmi penularan wabak, dan tidak bergantung kepada vaksin yang diimport bagi jutaan rakyat Malaysia yang memerlukan vaksin apabila siap dibangunkan kelak.

“Maklumat lanjut mengenai perkembangan projek-projek yang disebut di atas akan diumumkan MARii dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sengenics, Johan Hafiz Iskandar berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan pasukan MARii di dalam mendokong inisiatif-inisiatif bagi mengurangkan impak ekonomi akibat wabak COVID-19.

Malah tegas beliau, Sengenics bersedia untuk menggabungkan kepakaran diagnostik dengan penyelesaian penjagaan kesihatan masa nyata (real time) dan tercanggih di peringkat industri dan kilang. – MalaysiaGazette